RUMAH TERES JADI PUSAT PANGGILAN JUDI DISERBU

Sebuah rumah teres dua tingkat di kawasan perumahan, di daerah ini yang dijadikan pusat panggilan perjudian secara dalam talian sejak lebih dua bulan lalu diserbu polis, Jumaat lalu. Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, modus operandi yang dilakukan sindiket ini adalah dengan mempromosikan permainan judi atas talian menggunakan laman web perjudian melalui Aplikasi WhatsApp yang menawarkan pelbagai permainan perjudian berkomputer.

Beliau berkata, ia boleh diaksess dengan menggunakan kata laluan yang diberikan oleh sindiket mengikut jumlah tambah nilai oleh pelanggan. Pelanggan boleh berhubung untuk memulakan permainan melalui talian promosi yang ditetapkan tambah nilai oleh pelanggan.

Bayaran kemenangan akan dibuat menerusi akaun bank atau e-wallet pengguna dan sindiket,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini. Fisol berkata, serbuan Op Dadu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dibantu pihak Cawangan Khas Kontinjen Kedah yang menyerbu premis itu yang dipercayai digunakan sindiket sebagai pusat panggilan judi dalam talian.

Untuk makluman, aktiviti judi tidak berlesen merujuk kepada perjudian yang dijalankan tanpa lesen atau kebenaran rasmi dari pihak berkuasa yang berkenaan. Ini termasuk operasi perjudian seperti dalam talian tanpa kebenaran undang-undang, pertaruhan di tempat yang tidak sah dan operasi kasino tanpa lesen.

Kesan sosial daripada aktiviti ini membawa kesan dan kerugian yang nyata:

Masalah kewangan dan berhutang : Aktiviti judi boleh menyebabkan kesan kewangan yang buruk kepada individu dan keluarga. Individu terlibat berisiko terjerumus ke dalam masalah hutang yang terlalu membebankan dan memberi kesan langsung kepada kehidupan semasa dan akan datang.

Gangguan emosi dan psikologi : Ketagihan berjudi menyumbang kepada masalah kesihatan mental dan emosi seperti tekanan perasaan, rasa cemas dan kemurungan. Malahan, kerugian yang berlaku dalam aktiviti perjudian mampu mewujudkan konflik dalam diri dan keluarga selain menimbulkan pergaduhan dan rasa kurang senang ahli keluarga terhadap individu yang terlibat.

Kerugian sosial dan pembangunan komuniti : Perjudian tidak berlesen boleh mempengaruhi pembangunan komuniti dengan peningkatan kadar jenayah, gangguan ketenteraman awam, penonjolan sifat dan aktiviti tidak bermoral di kalangan masyarakat dan merosakkan imej komuniti setempat.

Pelanggaran undang-undang : Aktiviti judi tidak berlesen merupakan tindakan yang menyalahi undang-undang dan individu terbabit boleh dihadapkan kepada tindakan undang-undang yang tegas. Malah, terdapat kemungkinan bahawa aktiviti seperti ini menyumbang kepada aktiviti sampingan kongsi gelap dan jenayah terancang.

Kesimpulannya, aktiviti judi tidak berlesen bukan sahaja boleh merosakkan individu secara kewangan dan emosi tetapi juga dapat memberi kesan besar kepada komuniti dan masyarakat setempat. Bagi mengurangkan kesan negatif ini, kesedaran di kalangan masyarakat mengenai bahaya judi perlu ditingkatkan selain menggalakkan pematuhan undang-undang dan peraturan berkait aktiviti perjudian.

Langkah pencegahan, sumber sokongan dan pendidikan awam memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan dan kesejahteraan rakyat khususnya dalam mendepani isu judi tidak berlesen. Hal ini ketara dinyatakan dalam Teras Keselamatan Ke-8 dalam Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 berkait Keselamatan Rakyat (Penguatkuasaan Undang-Undang)

Artikel: Puan Sharida
Foto: Berita Harian
Sumber: RUMAH TERES JADI PUSAT PANGGILAN JUDI DISERBU

 

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM BICARA EKSEKUTIF PENERANGAN ISU-ISU KESELAMATAN SIRI 1/2024

Majlis Keselamatan Negara, Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sembilan telah melaksanakan Program Bicara Eksekutif Penerangan Isu-Isu Keselamatan …
Maklumat Lanjut

KERAJAAN BERHASRAT BERI TABLET KEPADA PELAJAR – ZAHID HAMIDI

KUANTAN: Kementerian Pendidikan (KPM) berhasrat untuk memberikan tablet kepada setiap pelajar dalam merealisasikan sekolah digital yang lebih berkesan pada masa …
Maklumat Lanjut

KPM UMUM ENAM INISIATIF ANTARANYA LONJAK KAPASITI GURU DIGITAL

KUANTAN: Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan beberapa inisiatif antaranya bagi melonjakkan kapasiti guru dalam bidang digital. Menteri Pendidikan, Fadhlina …
Maklumat Lanjut