PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun mahu sektor agromakanan terus diberi keutamaan sebagai pemacu penting ekonomi negeri.
Beliau berkata, pembangunan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan perlu diperkukuh bagi memastikan bekalan makanan mencukupi, selain menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah.
Masidi berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan khas bersama Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah, Datuk Jamawi Jaafar bagi membincangkan perkara keutamaan kementerian berkenaan, baru-baru ini.
Menurutnya, perbincangan itu turut meneliti status semasa pelaksanaan projek di bawah MAFFI serta mengenal pasti perkara yang memerlukan perhatian dan tindakan lanjut.
“Penyelarasan antara MAFFI dan Kementerian Kewangan (MOF) Sabah penting bagi memastikan perkara yang dikenal pasti dapat dilaksanakan secara teratur serta memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Masidi berkata, kerjasama erat antara kementerian dan agensi berkaitan perlu diperkukuh supaya setiap perancangan dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan.
Katanya, kerajaan negeri kekal komited menjadikan sektor agromakanan sebagai antara pemacu penting dalam memperkukuh ekonomi negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



