KESIHATAN MENTAL DI MALAYSIA SEMAKIN MEMBIMBANGKAN

Isu atau masalah kesihatan mental serta tekanan emosi antara isu kesihatan awam yang menjadi semakin penting terutamanya selepas pandemik COVID-19. Hal ini dibuktikan apabila masalah kesihatan mental menunjukkan trend peningkatan dengan statistik individu yang mendapatkan sokongan menerusi Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) iaitu inisiatif di bawah Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkat lima (5) kali ganda bagi tahun 2022 berbanding tahun 2020 (Sumber: Berita Harian, Oktober 10, 2022).

Di samping itu, Statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2015 mendedahkan satu per tiga rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas berdepan masalah mental. Pada tahun 2019 pula, KKM telah merekodkan sebanyak 2.3% orang dewasa dan 9.5% kanak-kanak berusia 10-15 tahun mengalami masalah mental dan KKM mengunjurkan peratusan tersebut dijangka akan terus meningkat.

Permasalahan kesihatan mental di Malaysia turut dikaitkan dengan tingkah laku bunuh diri di mana terdapat 1,142 kes dilaporkan pada tahun 2021 dan 631 kes dilaporkan pada tahun 2020. Jumlah kes bagi tahun 2021 menunjukkan peningkatan ketara iaitu sebanyak 81 peratus berbanding tahun 2020 (Sumber: Berita Harian, Oktober 10, 2022). Tingkah laku bunuh diri menunjukkan kadar membimbangkan dan kita belum pasti perangkaan bagi tahun 2022.

Lebih dari itu, masalah kesihatan mental kini turut menular kepada golangan kanak-kanak. Seorang daripada 20 orang kanak-kanak berusia 5 hingga 9 tahun di Malaysia kini mengalami gangguan mental. Kini KKM telah merekodkan 424,000 kanak-kanak di Malaysia disahkan mengalami masalah mental. UNICEF turut merekodkan 12.3 % remaja 10-17 tahun yang mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang mengalami masalah kesihatan mental dan cenderung untuk membunuh diri (Sumber: Harian Metro, Mac, 18, 2023). Pada 18 Jun 2022, Setiausaha Agung PBB, Antonio Gutteres menyatakan hampir 1 billion penduduk dunia mengalami masalah mental.

Natijahnya, isu kesihatan mental menjadi antara punca utama yang menjejaskan kesejahteraan fizikal dan sosial seseorang individu. Bukan itu sahaja, isu kesihatan mental dan tekanan emosi dalam kalangan rakyat perlu dipandang serius berikutan ia memberi pelbagai kesan buruk kepada negara. Isu kesihatan mental yang kini melibatkan pelbagai lapisan masyarakat merangkumi semua domain iaitu biological, psikologikal, sosial dan spiritual.

Isu ini tidak boleh dipandang enteng dan usaha untuk mengesan, mencegah dan bertindak balas perlu dilaksanakan secara serius. Daripada 9 teras Dasar Keselamatan Negara 2021-2025, isu kesihatan mental ini merujuk kepada Teras yang ke-8 iaitu Keselamatan Rakyat dan salah satu daripada 153 item dalam Matriks Keselamatan Negara adalah Pengukuhan Kesihatan Minda dan Ketahanan Rakyat.

Disediakan oleh: Raihan Mokti

Artikel lain: Kesihatan Mental dan Kemakmuran Negara

Artikel/Berita Terkini

PEMANTAUAN NAZIRAN PEMBORONG MINYAK MASAK

BACHOK : Sepasukan Pegawai Penguat Kuasa, KPDN Kelantan telah mengadakan pemantauan dan naziran terhadap Kilang Pembungkusan dan Pemborong Minyak Masak …
Maklumat Lanjut

PENIAGA DIAMBIL TINDAKAN BERNIAGA TANPA LESEN BARANG KAWALAN

KOTA BHARU : Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kelantan telah menjalankan siasatan aduan awam pada jam 1.00 petang tadi mengenai peniaga …
Maklumat Lanjut

900 LITER MINYAK PETROL DISITA DALAM OPS BERSEPADU PENCEGAHAN KETIRISAN BARANG KAWALAN

TUMPAT : Penguat Kuasa KPDN Kelantan telah mengadakan Ops Bersepadu Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan di sempadan negara sekitar Tumpat, Kelantan …
Maklumat Lanjut