BENCANA: Pengisytiharan bencana bagi kedua-dua daerah susulan keadaan banjir semakin buruk.
KOTA KINABALU: Daerah Penampang dan Kota Kinabalu diisytihar sebagai kawasan bencana susulan banjir yang melanda beberapa kampung serta kawasan rendah di kedua-dua daerah, malam tadi.
Di Penampang, pengisytiharan bencana dibuat pada jam 10.40 malam selepas beberapa kawasan dinaiki air susulan hujan berterusan.
Antara kampung terjejas ialah Kampung Penampang Proper, Kolopis, Sarapung, Dabak, Tanaki, Pagansakan, Nambazan, Huba, Kibabaig, Limbanak, Penampang Kondis, Sugud, Pinapah, Vista Kiranau dan Kambau.
Kawasan yang dilaporkan dinaiki air pula membabitkan Jalan Tanaki-Bandason, Jalan Vista Kiranau, Jalan Inobong, Jalan Kampung Putaton, Jambatan Pagansakan, Jalan Sarapung, Jalan Kolopis-Boliga, Jalan Bantazon-Kolopis, Jalan Bontozon-Kampung Sarapung, Jalan Huba-Nambazan, Jalan Panglima Banting serta Jalan Kasigui, Kampung Kasigui.
PPS: Pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan mangsa banjir.
Sehingga laporan diterima, empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah Penampang dengan keseluruhan 41 Ketua Isi Rumah (KIR) dan 118 mangsa ditempatkan.
PPS Kompleks Sukan Penampang menempatkan tujuh KIR membabitkan 40 mangsa, manakala PPS Dewan Huguan Siou menempatkan 11 KIR dengan 31 mangsa.
PPS St Paul Kolopis pula menempatkan tujuh KIR membabitkan 18 mangsa, sementara PPS Penampang Parish Hall menempatkan 16 KIR dengan 29 mangsa.
Paras Sungai Moyog turut mencecah 9.12 meter, iaitu pada paras bahaya.
Dalam perkembangan sama, Kota Kinabalu turut diisytihar sebagai kawasan bencana banjir pada jam 8 malam.
Pengisytiharan itu dibuat selepas beberapa kawasan di daerah berkenaan dilanda banjir, termasuk Kampung Kiambalang, Kampung Rampayan, Kampung Kionsom dan Kampung Mansiang.
Maklumat daripada orang awam berhubung kejadian banjir di beberapa lokasi di kawasan berkenaan diterima pada jam 5.10 petang.
PPS Dewan Masyarakat Manggatal dibuka pada jam 8 malam bagi menempatkan penduduk yang terjejas.
Bagaimanapun, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS berkenaan masih dalam proses pengesahan ketika laporan diterima.
Pemantauan keadaan cuaca dan situasi banjir diteruskan agensi yang terlibat dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Kinabalu.
Bagi operasi di Kota Kinabalu, PDRM menggerakkan 17 pegawai dan anggota, manakala APM menempatkan 17 petugas dengan sebuah ambulans, sebuah LRV dan sebuah bot.
Sementara itu, JBPM Penampang turut menjalankan operasi pemindahan mangsa banjir di beberapa lokasi malam tadi.
Seramai 14 mangsa di kawasan belakang Loji Rawatan Air Kasigui, 10 mangsa di Kampung Penampang Proper dan enam mangsa di Kampung Kibabaig dipindahkan ke PPS Kompleks Sukan Penampang.
Keseluruhan 30 mangsa terbabit terdiri daripada golongan dewasa dan kanak-kanak.
Operasi pemindahan di ketiga-tiga lokasi selesai selepas semua mangsa dipastikan selamat dan tiada lagi permintaan bantuan pemindahan.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



