RAKYAT SABAH PERLU TERUS PELIHARA PERPADUAN, KEHARMONIAN

ALBUM: Musa (duduk, tengah) merakamkan gambar kenangan pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah perlu terus memelihara perpaduan, keharmonian dan kestabilan yang menjadi asas kepada keamanan serta kemakmuran negeri ini.

Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman berkata, dalam dunia yang semakin saling berhubung namun tidak menentu, konflik dan pencerobohan di pelbagai tempat termasuk krisis berterusan di Timur Tengah mengingatkan bahawa keamanan dan kestabilan boleh terganggu dengan pantas.

Katanya, kesan konflik berkenaan turut melangkaui sempadan negara apabila menjejaskan perdagangan, tenaga, rantaian bekalan dan kehidupan masyarakat di seluruh dunia.

“Pada ketika seperti ini, adalah lebih penting daripada sebelumnya untuk kita mengamalkan sikap sederhana, menunjukkan tanggungjawab bersama, memperkukuh perpaduan dan memperlihatkan keazaman lebih tinggi dalam usaha mencapai keamanan.

“Keamanan tidak boleh dipandang ringan. Ia mesti dipupuk, dilindungi dan dipelihara,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama Maktab Ketahanan Nasional, Angkatan Tentera Malaysia.

Musa berkata, Sabah mempunyai lebih 35 kumpulan etnik dan ratusan komuniti sub-etnik yang masing-masing mempunyai adat, bahasa, kepercayaan dan tradisi tersendiri, namun kepelbagaian itu tidak pernah menghalang pembentukan identiti Sabah yang kukuh dan dikongsi bersama.

Katanya, sikap saling menghormati dan hubungan erat dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sabah turut menjadikan perkahwinan campur sebagai perkara yang sudah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat negeri ini.

“Kita belajar bahawa kita tidak perlu menjadi sama untuk berdiri bersama.

“Kita meraikan perayaan satu sama lain, membuka rumah kepada rakan daripada agama dan etnik berbeza serta berdiri bersama jiran ketika menghadapi kesusahan,” katanya.

Menurutnya, keamanan dan keharmonian yang dinikmati ketika ini tidak harus dipandang ringan, sebaliknya ikatan yang menyatukan masyarakat perlu terus diperkukuh tanpa membenarkan perbezaan kaum, agama atau politik menjejaskan keharmonian yang dibina generasi terdahulu.

“Sabah ialah rumah kita bersama. Keamanan dan masa depannya merupakan tanggungjawab kita bersama,” katanya.

Musa berkata, perpaduan dan keharmonian bukan sekadar ideal sosial, sebaliknya menjadi asas kepada kestabilan, keselamatan dan kemakmuran kerana sesebuah negeri tidak mampu mencapai potensi sepenuhnya jika rakyatnya berpecah-belah.

Beliau berkata, kestabilan Sabah juga berkait rapat dengan aspek keselamatan, terutama mengambil kira kawasan pesisir pantai dan sempadan maritim yang luas serta kedudukan strategik negeri ini di Asia Tenggara.

PENGHARGAAN: Musa (kiri) menerima cenderakenangan pada majlis itu.

Sehubungan itu katanya, peranan Angkatan Tentera Malaysia bersama Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, ESSCOM serta agensi keselamatan dan penguatkuasaan lain amat penting dalam memastikan keamanan dan kedaulatan negeri terus terpelihara.

Musa turut menegaskan bahawa keselamatan yang berkesan memerlukan kerjasama rapat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, agensi keselamatan serta komuniti yang mereka berkhidmat.

“Keselamatan dan kepercayaan awam mesti sentiasa bergerak seiring,” katanya.

Beliau berkata, sejarah Sabah mengingatkan bahawa keamanan yang dinikmati hari ini tidak dicapai tanpa pengorbanan, sambil menzahirkan penghargaan terhadap tokoh seperti Mat Salleh dan Antanom serta keberanian rakyat Sabah ketika Perang Dunia Kedua semasa pendudukan Jepun.

Katanya, nilai keberanian, kesetiaan dan keazaman mempertahankan tanah yang dicintai yang ditunjukkan generasi terdahulu kekal relevan kepada mereka yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan Sabah hari ini.

Musa berkata, walaupun bentuk ancaman berubah, teknologi berkembang dan landskap keselamatan terus berubah, tanggungjawab untuk memelihara keamanan dan keharmonian serta mewariskannya kepada generasi akan datang tetap sama.

“Saya berharap pengalaman Sabah dapat menunjukkan satu prinsip yang mudah tetapi berkekalan, iaitu masyarakat daripada latar belakang, budaya dan kepercayaan berbeza bukan sahaja boleh hidup bersama secara aman, malah boleh berkembang bersama.

“Dalam dunia yang tidak menentu, prinsip ini juga penting dalam hubungan antara negara. Dialog, kerjasama, saling menghormati dan tanggungjawab bersama amat penting dalam memelihara keamanan dan kestabilan,” katanya.

Beliau turut mengajak semua pihak terus bekerjasama di Sabah, seluruh Malaysia serta bersama rakan dan negara serantau bagi memastikan keamanan yang dihargai rakyat terus dipelihara.

Musa berharap Sabah terus kekal bersatu, harmoni, aman dan makmur, selain hubungan persahabatan serta kerjasama antara negara terus berkembang dari semasa ke semasa.

 

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

RAKYAT SABAH PERLU TERUS PELIHARA PERPADUAN, KEHARMONIAN

ALBUM: Musa (duduk, tengah) merakamkan gambar kenangan pada majlis itu. KOTA KINABALU: Rakyat Sabah perlu terus memelihara perpaduan, keharmonian dan …

PENAMPANG DAN KOTA KINABALU DIISYTIHAR BENCANA BANJIR

BENCANA: Pengisytiharan bencana bagi kedua-dua daerah susulan keadaan banjir semakin buruk. KOTA KINABALU: Daerah Penampang dan Kota Kinabalu diisytihar sebagai …

30 MANGSA BANJIR DIPINDAHKAN KE PPS DI PENAMPANG

PINDAH: Pasukan bomba menjalankan operasi memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan. PENAMPANG: Seramai 30 mangsa daripada tiga lokasi terjejas banjir …