Keselamatan di tempat kerja bukan sahaja berkaitan dengan pencegahan kemalangan tetapi juga merangkumi penjagaan kesihatan fizikal pekerja. Salah satu masalah yang sering berlaku di dalam kalangan individu yang bekerja di hadapan komputer ialah sakit leher dan belakang akibat kedudukan badan yang tidak betul serta tempoh bekerja yang terlalu lama.
Amalan ergonomik yang baik penting bagi memastikan persekitaran kerja bersesuaian dengan keperluan fizikal seseorang. Kedudukan monitor yang terlalu rendah atau tinggi, kerusi yang tidak mempunyai sokongan belakang serta penggunaan komputer dalam tempoh masa yang panjang boleh menyebabkan ketegangan pada otot leher, bahu dan belakang. Keadaan ini mungkin kelihatan ringan pada peringkat awal namun jika ia dibiarkan berterusan boleh menjejaskan keselesaan, tumpuan dan produktiviti ketika bekerja.
Bagi mengurangkan risiko tersebut, pekerja perlu memastikan kedudukan monitor berada pada paras mata, duduk dengan postur yang betul dan memastikan kaki berada dalam keadaan selesa. Penggunaan kerusi yang memberikan sokongan kepada bahagian belakang juga dapat membantu mengekalkan posisi badan yang baik. Selain itu, rehat pendek secara berkala wajar dilakukan bagi membolehkan badan melakukan regangan dan mengurangkan ketegangan otot.
Kesimpulannya, penjagaan ergonomik merupakan sebahagian daripada amalan keselamatan di tempat kerja yang tidak seharusnya dipandang ringan. Kesedaran terhadap postur badan dan susun atur ruang kerja yang betul dapat membantu mencegah sakit leher dan belakang serta mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat, selesa dan produktif.
Sumber:https://sgs.upm.edu.my/artikel/menjaga_postur_badan_ketika_bekerja_kunci_kesihatan_dan_produktiviti-94661



