Jasin – YDH Ketua Polis Daerah Jasin, Supt. Lee Robert telah mengadakan perjumpaan bersama wakil calon parti sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.
Perjumpaan dimulakan dengan taklimat berkaitan Perancangan Kawalan Penyokong Parti yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, ASP Mohd Fuad Ali.
Sesi perjumpaan ini diadakan bagi memberikan penerangan serta menyelaras aspek keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang tempoh pilihan raya, khususnya berkaitan pengurusan penyokong parti, pematuhan peraturan serta kerjasama antara pihak polis dengan wakil calon parti.
Dalam sesi tersebut, YDH Ketua Polis Daerah Jasin menyeru semua wakil calon parti agar sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak polis, mematuhi segala peraturan dan arahan yang ditetapkan serta memastikan setiap aktiviti berkaitan pilihan raya dilaksanakan secara tertib, aman dan terkawal.
Beliau turut menekankan kepentingan menjaga keharmonian, mengelakkan sebarang provokasi serta tidak melakukan tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
Kerjasama erat daripada semua pihak amat penting bagi memastikan proses demokrasi dapat berlangsung dalam suasana yang aman, lancar dan harmoni demi kesejahteraan masyarakat setempat.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Azmi Abdul Salam, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, ASP Mohamad Ehsan Abu Bakar, Insp. Cawangan Khas, Insp. Mohd Fazley Mat Zain, Insp. Pelesenan, Insp. Siti Norsham Isa dan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) Daerah Jasin.
Sumber : Polis Jasin



