GEMPA SULAWESI: PENDUDUK PANTAI TIMUR SABAH RASA GEGARAN, TIADA LAPORAN KEROSAKAN

Gambar Metmalaysia

LAHAD DATU: Penduduk di beberapa kawasan di Pantai Timur Sabah merasai gegaran susulan gempa bumi kuat bermagnitud 6.1 yang melanda Semenanjung Minahassa, Sulawesi, Indonesia, tengah malam tadi.

Penjawat awam Nurul Istiqfarinah Hanafi, 33, berkata merasai gegaran itu semasa berjalan ke arah keretanya selepas tamat waktu bekerja.

“Saya rasa seperti bergoyang sedikit dan ingatkan laluan tidak rata, rupanya tidak dan ada gempa,” katanya kepada Bernama.

Di Tawau, penduduk Kampung Titingan Mohd Azlan Ibrahim, 42, menyedari kejadian itu apabila melihat tingkap dan struktur rumah bergegar secara tiba-tiba semasa sedang berehat.

“Gegaran sangat pantas, sekitar lima saat. Saya terus mengejutkan ahli keluarga kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Siti Rahmah Kassem, 38, yang menetap di Taman Sri Pangkalan, Kunak berkata melihat lampu gantung di ruang tamunya bergoyang sebelum menyedari lantai rumah juga seperti bergerak.

“Terus saya kejutkan suami dan anak untuk keluar rumah. Kira-kira 30 minit selepas itu, kami masuk semula ke rumah dan semuanya selamat, tiada kerosakan di kawasan rumah kami,” katanya.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan setakat ini tiada laporan kerosakan bangunan atau infrastruktur akibat gegaran itu diterima.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata gegaran dilaporkan dirasai penduduk di daerah Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa bumi berkedalaman 10 kilometer itu berpusat di koordinat 0.1 darjah Selatan dan 120.6 darjah Timur, iaitu kira-kira 116 kilometer timur laut dari Palu, Indonesia berlaku pada 12.25 tengah malam.

MetMalaysia mengesahkan penilaian yang dijalankan mendapati gempa bumi itu tidak menimbulkan sebarang ancaman tsunami kepada Malaysia.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

OPERASI BERSEPADU ESSCOM BELURAN CATAT RM407,644.69 NILAI KOMPAUN, RAMPASAN

OPERASI: Salah satu siri pemeriksaan yang dilaksanakan sepanjang Operasi Bersepadu ESSCOM Beluran. BELURAN: Operasi Bersepadu Daerah Beluran yang dilaksanakan Eastern …

TRAGEDI DI JALAN RAYA: KESEDARAN MENGHORMATI GARISAN BERKEMBAR

Sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemandu yang gemar memotong kenderaan di garisan berkembar merupakan antara punca utama berlakunya kemalangan maut. Tindakan …

BAHAYA KENDERAAN LEBIH MUATAN: PATUHI HAD DEMI KESELAMATAN JALAN RAYA

Isu kenderaan membawa lebih muatan (overloading) kini menjadi fokus utama penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana risiko impak negatifnya terhadap …