Shah Alam – Pengurusan bencana yang berkesan memerlukan prosedur operasi dan garis panduan yang jelas serta terselaras. Sehubungan itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menganjurkan Bengkel Penyediaan Peraturan Tetap Operasi (PTO) dan Garis Panduan Pengendalian Bencana NADMA Siri 2 Tahun 2026 di Hotel Wyndham Garden i-City, Shah Alam dari 16 hingga 20 November 2026 bagi membangunkan dokumen rujukan operasi baharu selaras dengan keperluan Arahan NADMA No. 1.

Bengkel yang menghimpunkan wakil pelbagai kementerian, agensi kerajaan, badan berkanun, sektor swasta dan pegawai NADMA ini berjaya menghasilkan 10 dokumen baharu merangkumi tujuh PTO dan tiga garis panduan berkaitan pengendalian bencana. Kesemua dokumen tersebut telah diluluskan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) NADMA, Datuk Abdul Gapar bin Abu Bakar semasa majlis penutupan bengkel. Inisiatif ini diharap dapat memperkemas prosedur, memperkukuh penyelarasan antara agensi serta meningkatkan keberkesanan pengurusan bencana negara.
Sumber : Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri



