Pemilihan rakan yang baik memainkan peranan penting dalam membentuk kehidupan dan masa depan seseorang, khususnya dalam kalangan golongan muda. Persahabatan yang sihat bukan sekadar berkongsi kegembiraan, malah mampu menjadi sumber sokongan ketika berdepan cabaran. Sahabat yang baik akan menegur apabila melihat rakannya melakukan perkara yang boleh memudaratkan diri serta menolak sebarang ajakan ke arah aktiviti tidak sihat.
Selain itu, rakan yang positif turut menggalakkan gaya hidup sihat dan bersedia membantu apabila diperlukan. Sokongan sebegini dapat membina keyakinan diri serta membantu seseorang membuat keputusan yang lebih baik dalam kehidupan seharian.
Sempena Hari Persahabatan Antarabangsa, masyarakat khususnya golongan muda diseru supaya lebih bijak memilih rakan dan membina hubungan persahabatan yang membawa pengaruh positif. Persahabatan yang sebenar seharusnya menjadi pelindung dan sumber kekuatan, bukannya punca seseorang terjebak dalam masalah sosial atau penyalahgunaan bahan terlarang.
Justeru, pilihlah rakan yang sentiasa mengajak kepada kebaikan, menghormati batas diri dan menyokong usaha untuk menjalani kehidupan yang sihat. Pilih rakan yang membawa kebaikan kerana persahabatan yang baik bukan sahaja menceriakan kehidupan, malah membantu melindungi masa depan.

Sumber Infografik: Laman Facebook AADK Negeri Terengganu



