JANGAN CEPAT MELABEL PELAJAR DEPRESI, BULI

Kini, tragedi melibatkan pelajar di sekolah sememangnya mengundang pelbagai reaksi masyarakat, tidak kira bangsa dan peringkat umur. lebih-lebih lagi apabila dikaitkan dengan tekanan emosi, buli atau masalah kesihatan mental pelajar berkenaan.

Bagaimanapun, dalam keghairahan kita mencari jawapan, masyarakat disarankan agar tidak bertindak sebagai ‘hakim’ mahupun ‘pakar’ di media sosial dalam merungkai punca yang belum pasti kesahihannya.

Hanya kerana melihat rakaman video yang tersebar, membaca hantaran atau poster dan mendengar cerita daripada pihak tertentu, kita terus menghakimi individu berkenaan.

Konsultan Bebas Psikologi Organisasi, Dr. Alizi Alias berkata, keadaan mental seseorang tidak boleh ditentukan hanya berdasarkan pemerhatian dari jauh atau maklumat yang tersebar di media sosial.

Menurutnya, diagnosis gangguan mental memerlukan penilaian klinikal menyeluruh oleh profesional yang berkelayakan.

“Tiada seorang pun, termasuk doktor psikiatri atau ahli psikologi klinikal, boleh membuat diagnosis gangguan mental secara profesional hanya berdasarkan rakaman video, gambar di media sosial atau laporan media.

“Diagnosis memerlukan temu bual, sejarah perkembangan, pemerhatian serta maklumat daripada pelbagai sumber.

“Oleh itu, kita yang bukan pakar lebih-lebih lagi perlu mengelakkan budaya ‘diagnosis dari jauh’ dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan,” katanya kepada Kosmo!, baru-baru ini.

Alizi berkata, buli merupakan isu serius yang perlu diberi perhatian dan disiasat dengan sewajarnya daripada pelbagai pihak termasuk pihak sekolah.

“Ibu bapa, guru dan komuniti sekolah perlu mengambil serius sebarang kebimbangan yang timbul, mendapatkan maklumat yang tepat serta memastikan pelajar yang memerlukan bantuan mendapat sokongan sewajarnya.

“Sebagai ahli psikologi organisasi, saya fokus kepada peranan sekolah sebagai satu organisasi dalam mencegah, mengurus dan memulihkan keadaan selepas tragedi.

“Daripada perspektif psikologi, keutamaan sekarang bukan sekadar memahami apa yang berlaku, tetapi juga mengurangkan kesan psikologi terhadap individu dan komuniti sekolah,” ujarnya.

Katanya, bagi mereka yang terkesan dengan tragedi ini, sokongan psikososial dan Psychological First Aid (PFA) perlu diberikan, selain mengenal pasti individu yang memerlukan penilaian lanjut oleh profesional.

Sementara itu, jelasnya, walaupun sesuatu tragedi telah berlaku namun, intervensi primer masih penting bagi mengurangkan risiko kejadian berulang.

“Antaranya ialah memperkukuh budaya sekolah yang selamat, penyayang dan saling menghormati, meningkatkan literasi kesihatan mental serta kemahiran pengurusan emosi dalam kalangan pelajar, melatih guru mengenal pasti tanda-tanda awal tekanan psikologi atau perubahan tingkah laku pelajar.

Bagi penulis pula, masyarakat perlu menjauhi budaya ‘diagnosis dari jauh’ kerana tindakan sedemikian bukan sahaja mendatangkan kekeliruan masyarakat malah, lebih menambahkan tekanan kepada diri mangsa dan ahli keluarga.

 

Sumber : https://www.kosmo.com.my/2026/08/12/jangan-cepat-melabel-pelajar-depresi-buli/

 

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …