TERIMA KASIH: Maria (tiga kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Awang Shahminan semasa majlis SOGITAF 2.0. Turut hadir Siti Ayu (tiga kanan) serta tetamu jemputan lain.
KOTA KINABALU: PETRONAS terus memperkukuh pembangunan tenaga kerja industri minyak dan gas di Sabah menerusi pelancaran dua platform digital, Permohonan Online Pekerjaan dan Latihan Dalam Industri Minyak dan Gas (POMIGAS) serta Sabah Work Pass Online System, yang dibangunkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan dibiayai PETRONAS.
POMIGAS ialah platform dalam talian yang diintegrasikan dengan sistem Sabah Job Portal bagi memudah cara akses kepada peluang pekerjaan dan latihan dalam industri minyak dan gas, khususnya kepada belia serta graduan Sabah.
Platform ini turut menghubungkan bakat tempatan dengan keperluan industri, sekali gus memperkukuh pembangunan tenaga kerja mahir bagi sektor minyak dan gas di negeri ini.
Manakala Sabah Work Pass Online System ialah platform digital yang memudah cara proses permohonan dan pengurusan pas kerja di Sabah.
Platform ini membolehkan majikan mengemukakan dokumen, memantau status permohonan serta melancarkan proses kelulusan pas kerja melalui penyelarasan dengan pihak berkuasa buruh dan imigresen yang berkaitan.
Kedua-dua platform tersebut dilancarkan oleh Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan di bawah Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Haji Awang Shahminan Datuk Awang Sahari, sempena Sabah Oil & Gas Industry Talent Alignment Forum (SOGITAF) 2.0.
Turut hadir Pengurus Besar Kanan, Sumber Manusia, Sektor Huluan dan Pengurusan Petroleum Malaysia, PETRONAS, Maria Teo.
Awang Shahminan berkata kedua-dua platform itu mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS dalam memperkukuh ekosistem tenaga kerja industri minyak dan gas di Sabah.
Ia dilaksana menerusi peluasan akses dan penyertaan kepada peluang dalam industri, pembangunan bakat tempatan serta pendekatan yang lebih terselaras dalam menghubungkan bakat tempatan dengan keperluan industry.
Sementara itu, Pengurus Besar PETRONAS Pejabat Wilayah Sabah dan Labuan, Datuk Siti Ayu Abdul Wahab berkata PETRONAS akan terus memperkasa potensi bakat tempatan.
Ia dilaksana melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif yang meningkatkan keupayaan tenaga kerja, memperluas akses kepada peluang dalam industri serta menyokong pembangunan tenaga kerja minyak dan gas yang berkemahiran dan bersedia memenuhi keperluan masa hadapan.
Inisiatif ini dikendalikan oleh Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah, dengan POMIGAS mula beroperasi pada awal tahun ini, manakala Sabah Work Pass Online System dijadualkan mula beroperasi pada 1 September 2026.
Selaras dengan usaha memperkukuh ekosistem industri minyak dan gas di Sabah, SOGITAF berperanan sebagai platform yang menghimpunkan Petroleum Arrangement Contractors (PAC) serta agensi-agensi Kerajaan Negeri bagi memperkukuh kerjasama, meningkatkan pemahaman terhadap keperluan kawal selia serta membincangkan isu-isu berkaitan industri.
Forum ini turut meningkatkan kesedaran mengenai dasar dan prosedur berkaitan bagi menyokong kelancaran operasi industri.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



