PEMENANG: Ewon menyampaikan hadiah kepada Johan Anugerah Syarikat PROTUNE Terbaik kepada pasukan SMK Sepagaya Lahad Datu, hari ini.
KOTA KINABALU: Lebih RM1.4 juta jumlah jualan direkodkan syarikat-syarikat PROTUNE sekolah di negeri ini sepanjang sembilan bulan pelaksanaan Program Tunas Niaga (PROTUNE) Peringkat Negeri Sabah 2025.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, pencapaian berkenaan membuktikan potensi besar pembangunan keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah di negeri ini.
Menurutnya, syarikat-syarikat PROTUNE daripada sekolah yang menyertai program itu mencatat jualan keseluruhan sebanyak RM1,408,632.26 dengan keuntungan bersih RM380,098.41.
Katanya, ia sekali gus membuktikan kesungguhan, kreativiti dan komitmen para pelajar serta guru pembimbing dalam membangunkan syarikat sekolah masing-masing.
Namun jelasnya, kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui jumlah jualan atau keuntungan, tetapi pengalaman, keyakinan serta kemahiran kepimpinan, komunikasi, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan yang berjaya dibina sepanjang pelaksanaan program.
“Semoga pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang tempoh ini dapat melahirkan usahawan baharu yang mampu bersaing serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dan Wawasan Sabah First.
“Saya juga bersetuju menambah hadiah kepada 15 sekolah finalis, iaitu setiap sekolah akan menerima tambahan dana sebanyak RM2,000 di bawah Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan.
“Selain itu, saya turut bersetuju menyalurkan dana tambahan RM10,000 di bawah tabung khas tersebut kepada syarikat sekolah penerima Anugerah PROTUNE 2025,” katanya selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Konvensyen PROTUNE Peringkat Negeri Sabah 2025, di sini, hari ini.
Program itu dianjurkan oleh SEDCovest, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).
Ewon berkata, kerajaan negeri menerusi Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) terus menyokong pelaksanaan PROTUNE menerusi peruntukan pembangunan keusahawanan yang disalurkan kepada SEDCovest bagi memastikan agenda pembangunan usahawan di peringkat sekolah dapat diteruskan.
Katanya, daripada 45 sekolah yang menyertai program itu di seluruh Sabah, sebanyak 15 sekolah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir.
Menurutnya, statistik alumni PROTUNE turut menunjukkan impak positif program itu apabila 68 peratus melanjutkan pengajian, 21 peratus telah bekerja, sembilan peratus sedang mencari pekerjaan dan dua peratus memilih menceburi bidang keusahawanan.
“Statistik ini membuktikan PROTUNE bukan sahaja memperkenalkan keusahawanan, malah membentuk keyakinan diri dan kemahiran insaniah sebagai persediaan ke alam pengajian tinggi, pekerjaan atau perniagaan.
“Dalam ekonomi yang sentiasa berubah, kita memerlukan lebih ramai anak muda yang mampu mencipta peluang pekerjaan. Justeru, PROTUNE amat penting dalam melahirkan usahawan muda yang inovatif, berdaya tahan dan berdaya saing,” jelasnya.
Beliau berharap, PROTUNE terus diperkasakan bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda yang kreatif, inovatif dan berdaya saing, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah.
Pada majlis itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sepagaya Lahad Datu memenangi Anugerah Syarikat PROTUNe Terbaik dan menerima hadiah wang tunai RM2,500 berserta piala dan sijil.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap MINDET Moira David; Pengerusi SEDCovest Holdings Sdn.Bhd Datuk Redonah Bahanda; Timbalan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO (Hal Ehwal Korporat & Kewangan) Azrul Ahmad; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid JPNS Muddin Beting; dan Pengurus Besar SEDCovest Holdings Sdn.Bhd Yahyah Sidek.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



