PEKERJA STESEN MINYAK SALAH GUNA MYKAD PELANGGAN, DIPENJARA LAPAN BULAN

DZULBAHARIN

LAHAD DATU: Taktik pekerja stesen minyak menggunakan nombor MyKad pelanggan untuk menyedut subsidi diesel BUDI MADANI terbongkar selepas kegiatan itu dikesan polis di daerah ini.

Lebih mengejutkan, nombor MyKad pelanggan yang datang mendapatkan subsidi dicatat sebelum digunakan semula bagi membolehkan pelanggan lain mendapatkan diesel pada harga subsidi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, kegiatan itu terbongkar selepas seorang mangsa membuat laporan polis berikutan mendapati empat transaksi penggunaan kuota subsidi BUDI MADANI Diesel dibuat tanpa pengetahuannya.

“Transaksi berkenaan membabitkan penggunaan 43.01 liter subsidi diesel di sebuah stesen minyak di daerah Lahad Datu.

“Hasil risikan, siasatan dan operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, IPD Lahad Datu, dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang juga pekerja stesen minyak terbabit ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, modus operandi suspek adalah mencatat nombor MyKad pelanggan yang mengisi minyak menggunakan bantuan subsidi sebelum menggunakan kata laluan penyelia untuk memasukkan nombor berkenaan ke mesin BUDI MADANI.

“Suspek tidak memerlukan MyKad fizikal kerana hanya nombor kad pengenalan dimasukkan ke dalam mesin.

“Apabila pelanggan lain membuat pengisian tanpa subsidi, suspek akan memasukkan nombor MyKad milik individu lain untuk mendapatkan harga subsidi dan seterusnya mengaut keuntungan secara salah,” katanya.

Dzulbaharin berkata, suspek utama didakwa di Mahkamah Majistret Lahad Datu hari ini dengan empat pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana menyalahgunakan MyKad orang lain bagi tujuan penggunaan subsidi BUDI MADANI.

Katanya, suspek mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman lapan bulan penjara serta empat sebatan, dengan hukuman dijalankan serentak.

“Dua lagi individu yang ditahan dijadikan saksi pendakwaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika menyerahkan MyKad kepada mana-mana pihak bagi urusan berkaitan subsidi.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan sebarang penyalahgunaan subsidi BUDI MADANI untuk tindakan lanjut,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …