TUGAS: Jauteh menyaksikan penyerahan tugas Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Jikun mengingatkan seluruh pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menerima setiap arahan serta perubahan yang diperkenalkan dengan sikap terbuka, selain terus memanfaatkan kemajuan teknologi bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Beliau berkata, perubahan yang dilaksanakan dalam pasukan bertujuan memperkukuh organisasi dan mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
“Warga PDRM tidak seharusnya mewujudkan persepsi negatif terhadap setiap arahan baharu, sebaliknya melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab.
“Jangan memperkatakan arahan baharu itu salah atau tidak sesuai. Saya mahu semua memberi kerjasama dan menerima perubahan yang diperkenalkan demi kebaikan pasukan.
“Kita perlu bersatu hati dan bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan setiap dasar yang diperkenalkan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu di sini.
Majlis terbabit menyaksikan Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman menyerahkan jawatan terbabit kepada Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu yang baharu Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain.
Beliau berkata, kemajuan teknologi yang dinikmati ketika ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kecekapan tugas, khususnya dalam penyiasatan dan penyediaan kertas siasatan.
Menurutnya, ketika memulakan kerjaya dalam pasukan, kebanyakan tugasan termasuk penyediaan kertas siasatan dilakukan secara manual dan mengambil masa yang lebih lama untuk diselesaikan.
“Dulu saya membuka kira-kira 50 kertas siasatan sebulan, termasuk kes indeks dan bukan indeks. Sekarang, pegawai penyiasat mampu mengendalikan sehingga 200 atau lebih kertas siasatan dalam tempoh setahun dengan bantuan sistem yang lebih moden.
“Gunakan kemudahan yang ada untuk mempercepatkan siasatan supaya masyarakat mendapat keadilan dengan lebih cepat. Jangan apabila kerja menjadi lebih mudah, kita pula menjadi malas,” katanya.
Beliau turut mengimbau pengalaman mengendalikan kes pembunuhan pada awal perkhidmatannya apabila keseluruhan proses siasatan dilakukan secara bertulis dan mengambil masa sehingga tujuh hari untuk disiapkan.
Katanya, keadaan itu jauh berbeza dengan sekarang apabila pelbagai sistem digital membantu mempercepatkan penyediaan dokumen siasatan dan urusan operasi.
Dalam pada itu, beliau berharap semua pegawai yang mengikuti kursus, peperiksaan atau proses kenaikan pangkat berjaya mencapai matlamat masing-masing.
“Setiap tugasan yang dilaksanakan dengan ikhlas adalah satu amanah dan boleh menjadi amal ibadah jika dilakukan dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Pada masa sama, beliau menggesa seluruh warga PDRM terus memperkukuh kesatuan, mengelakkan perbalahan berhubung arahan baharu dan bersama-sama memastikan organisasi terus bergerak ke hadapan.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



