Pada 09 Julai (Isnin) dalam tahun 1962, satu rundingan mengenai gagasan Malaysia di antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Brunei telah diadakan di Kuala Lumpur. Rombongan rundingan dari Brunei itu terdiri daripada dua orang wakil Sultan Brunei dan tiga orang wakil kerajaan yang diketuai oleh Pengiran Pemanca Menteri Kedua Negeri Brunei. Empat orang yang lainnya adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan, Dato’ Setia Pengiran Haji Mohd. Yusoff; Peguam Negara, Dato’ Abdullah bin Aziz; Ketua Telekom, Pengiran Karma Indira Haji Mohamad dan Penyelia Maktab Latihan Guru-guru Brunei iaitu Encik Osman bin Bidin.
Walaupun rundingan tersebut tidak rasmi tetapi ia merupakan rundingan yang pertama kalinya diadakan oleh kerajaan Brunei dengan mana-mana pihak mengenai penubuhan Malaysia. Perundingan itu telah dijalankan dalam dua peringkat; pertamanya, perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak dan lain-lain wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang terdiri daripada Dato Abdul Aziz, Setiausaha Tetap Pejabat Perdana Menteri, Encik Ghazali Shafie, Setiausaha Tetap Kementerian Luar Negeri; Dato Jamil Rais, Setiausaha Kementerian Kewangan; Encik Abdul Kadir Shamsuddin, Setiausaha Kementerian Pertahanan dan Encik C.M. Sheridan, Peguam Negara.
Selepas perbincangan di sebelah pagi, rombongan itu kemudian telah menemui Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman. Mesyuarat-mesyuarat yang meliputi segala aspek Malaysia seperti penjelasan mengenai perlaksanaan Malaysia, faedahnya bagi negeri Brunei dan kedudukan Brunei dalam Malaysia. Soal pertahanan dari ancaman komunis di Asia Tenggara telah juga dibincangkan.
Sumber : Arkib Negara Malaysia



