TERJEJAS: Jalan Kayu Madang yang digenangi banjir semasa hujan lebat baru-baru ini.
KOTA KINABALU: Jalan Kayu Madang yang menghubungkan Tuaran, Telipok dan Sepanggar perlu diiktiraf sebagai laluan utama berikutan perubahan peranannya daripada sekadar jalan pintas kepada koridor pengangkutan penting.
Pensyarah Kanan Jabatan Perdagangan Politeknik Kota Kinabalu, Anbukkarasu Paramasivam berkata, pembangunan pesat di kawasan sekitar menyebabkan jalan berkenaan kini menanggung beban trafik yang jauh lebih tinggi berbanding fungsi asalnya.
“Kewujudan kawasan perumahan padat, institusi pendidikan, pusat pengajian tinggi, zon industri serta pembangunan seperti KKIP dan Bandar Sierra menjadikan Jalan Kayu Madang laluan utama bagi penduduk yang berulang-alik ke Kota Kinabalu.
“Jalan Kayu Madang bukan lagi sekadar jalan pemotong atau jalan pintas. Ia sudah menjadi arteri kritikal yang menghubungkan beberapa kawasan pertumbuhan utama di Sabah,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, masalah kesesakan luar biasa yang berlaku baru-baru ini menunjukkan kelemahan sistem rangkaian jalan raya, khususnya dari aspek laluan alternatif yang tidak mencukupi.
“Apabila berlaku gangguan di Jalan Kayu Madang, aliran trafik tidak dapat diagihkan dengan berkesan ke laluan lain, menyebabkan kenderaan terperangkap dalam tempoh panjang.
“Keadaan ini turut memberi kesan kepada persimpangan utama seperti Bulatan Jalan Sulaman, Bulatan Norowot dan simpang KKIP apabila peningkatan jumlah kenderaan menyebabkan berlaku kesesakan berantai sehingga ke kawasan Telipok dan Jalan Tuaran,” katanya.
Anbukkarasu berkata, faktor geografi serta keupayaan sistem perparitan juga perlu diberi perhatian dalam sebarang usaha menaik taraf jalan berkenaan bagi mengelakkan masalah banjir kilat berulang.
“Usaha menaikkan aras jalan tanpa disertai peningkatan kapasiti saliran tidak akan menyelesaikan masalah takungan air. Perancangan kejuruteraan perlu dibuat secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata, kesesakan berpanjangan turut memberi kesan kepada kehidupan harian penduduk apabila ibu bapa berdepan kesukaran menghantar anak ke sekolah mengikut jadual, manakala pekerja mengalami kehilangan masa produktif akibat terperangkap di jalan raya.
Selain itu, katanya, tekanan akibat kesesakan trafik berjam-jam boleh menjejaskan kesejahteraan mental pengguna jalan raya, terutama apabila tiada laluan keluar yang mudah ketika berlaku kesesakan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan beberapa langkah termasuk mengkaji semula klasifikasi Jalan Kayu Madang daripada jalan sekunder kepada rangkaian jalan utama dalam pelan pembangunan daerah.
Beliau turut mencadangkan pembinaan laluan alternatif, pelebaran jalan bersama peningkatan sistem perparitan, pemasangan lampu isyarat pintar serta sistem pengurusan trafik di lokasi kritikal.
“Perancangan pengangkutan awam juga perlu diperkasakan dengan memperluaskan laluan bas yang menghubungkan Tuaran, Telipok, Sepanggar dan Kota Kinabalu bagi mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.
“Pihak berkuasa tempatan serta wakil rakyat kawasan Sepanggar dan Karambunai perlu memberi perhatian serius terhadap isu berkenaan supaya penyelesaian jangka panjang dapat dilaksanakan.
“Jalan Kayu Madang sudah berubah daripada laluan kecil kepada nadi pengangkutan utama. Ia memerlukan pelaburan infrastruktur yang sepadan dengan peranan semasanya,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



