PERIKSA: Anggota Penguat Kuasa LPKP Sabah Menjalankan Pemeriksaan Terhadap Kenderaan Perdagangan Dalam Operasi Bersepadu Di Tawau.
TAWAU: Tiga notis tindakan dikeluarkan terhadap pengusaha kenderaan perdagangan yang didapati melanggar syarat lesen dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah Cawangan Tawau, di sini, baru-baru ini.
Operasi bermula seawal jam 9.30 pagi itu dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Tawau.
Dalam operasi itu, lebih 18 kenderaan perdagangan membabitkan pelbagai kategori lesen diperiksa, termasuk bas berhenti-henti, kenderaan di bawah Lesen Pembawa A, Pembawa C serta kenderaan e-hailing.
LPKP Sabah dalam kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati masih terdapat pengusaha yang gagal mematuhi syarat lesen, terutama berkaitan kegagalan mempamerkan tanda badan kenderaan seperti yang diwajibkan.
“Susulan kesalahan itu, tiga notis tindakan dikeluarkan membabitkan kenderaan di bawah Lesen Pembawa.
“Pemeriksaan dijalankan bagi memastikan semua pengusaha mematuhi syarat lesen dan peraturan yang ditetapkan di bawah LPKP Sabah,” katanya.
Menurut kenyataan itu, operasi bersepadu berkenaan bukan sahaja bertujuan mengesan pelanggaran syarat lesen, malah memastikan kenderaan perdagangan yang beroperasi berada dalam keadaan selamat dan mematuhi peraturan sedia ada.
LPKP Sabah berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkat dan dilaksanakan secara berkala di seluruh negeri bagi memastikan tahap pematuhan pengusaha kenderaan perdagangan terus berada pada tahap memuaskan.
“Penguatkuasaan secara berterusan penting bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya, selain mewujudkan sistem pengangkutan awam dan pengangkutan barangan yang lebih teratur, cekap serta mematuhi undang-undang,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



