Arthur Menyampaikan Ucaptama Khas Sempena Sidang Kemuncak Pelaburan Berimpak Asia Pasifik Bagi Pembangunan Mampan Sabah 2026 (Sabah AIMS 2026) Yang Julung Kali Diadakan Di Kota Kinabalu, Semalam.
KOTA KINABALU: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bekerjasama rapat dengan kerajaan Sabah untuk menyeragamkan daftar kredit karbon berintegriti tinggi di samping menyokong pelbagai inisiatif termasuk Heart of Borneo, Rizab UNESCO Man and the Biosphere serta projek pelaburan berasaskan alam semula jadi.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, Sabah terus menerajui agenda penyelesaian berasaskan alam semula jadi negara menerusi projek seperti Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut, iaitu projek karbon berasaskan alam semula jadi pertama di Malaysia yang diperakui di peringkat antarabangsa, yang telah menjana lebih empat juta kredit karbon yang disahkan sejak pengeluaran pertamanya pada 2024.
Beliau berkata, NRES sedang memperkukuh rangka kerja kawal selia, perundangan dan ekonomi negara menerusi inisiatif seperti Dasar Pasaran Karbon Negara (DPKK), Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 (DPIN 2.0) serta Rang Undang Undang Perubahan Iklim Negara yang dicadangkan bagi meningkatkan kepastian dasar dan keyakinan pelabur.
Menyampaikan ucaptama khasnya pada Sidang Kemuncak Pelaburan Berimpak Asia Pasifik bagi Pembangunan Mampan Sabah 2026 (Sabah AIMS 2026) di sini semalam, Arthur berkata, Malaysia kekal komited memajukan pembangunan mampan melalui dasar yang inklusif, pertumbuhan hijau dan pengurusan sumber asli yang bertanggungjawab.
Menurutnya lagi, sidang kemuncak ini membuktikan komitmen kerajaan Sabah dalam menyediakan platform strategik yang menghimpunkan penggubal dasar, pelabur, pemimpin industri dan pakar kelestarian bagi mempercepat pembangunan mampan menerusi pelaburan berimpak.
Berlangsung dengan tema Turn, Learn, Earn, sidang kemuncak julung kali yang berlangsung hingga 14 Julai ini menghimpunkan lebih 300 profesional dan pemain industri dari Malaysia, Singapura, Hong Kong, China, Taiwan, Bhutan, India, Australia, Afrika Selatan, Perancis, Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Sabah AIMS 2026 memberi tumpuan kepada pendekatan praktikal bagi menggerakkan modal ke arah inisiatif sosial dan alam sekitar berimpak tinggi, di samping meletakkan Sabah sebagai hab serantau serta makmal hidup bagi inovasi dan kerjasama dalam pelaburan berimpak untuk pembangunan mampan.
Arthur berkata, sidang kemuncak ini berlangsung pada waktu yang amat signifikan ketika dunia berdepan pelbagai cabaran yang saling berkait, termasuk perubahan iklim, kehilangan biodiversiti, ketidakjaminan sumber dan jurang sosioekonomi yang semakin melebar.
“Pembangunan mampan bukan lagi sekadar satu aspirasi. Ia merupakan satu keperluan mendesak yang memerlukan kepimpinan berani, perkongsian inovatif dan pelaburan transformatif,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pembiayaan awam tradisional serta geran daripada institusi filantropi semata-mata tidak lagi mencukupi untuk merapatkan jurang pembiayaan yang diperlukan bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) serta sasaran pelepasan sifar bersih negara.
Sehubungan itu, Arthur berkata, ekosistem kewangan perlu beralih kepada pelaburan berimpak dengan menarik penyertaan modal swasta yang mampu menjana pulangan kewangan kompetitif di samping memberikan impak sosial dan alam sekitar yang boleh diukur.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



