LAPAN PELAJAR DIREMAN, DAKWAAN VIDEO AI CETUS PERGADUHAN

PROSIDING: Lapan Pelajar Diiring Keluar Dari Mahkamah Majistret Tawau Selepas Prosiding Permohonan Reman Bagi Membantu Siasatan Kes Pergaduhan.

TAWAU: Lapan pelajar lelaki sebuah sekolah menengah direman selama dua hari bagi membantu siasatan kes pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada dakwaan penyebaran gambar dan video berunsur seksual disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Perintah reman sehingga 17 Julai itu dikeluarkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini, bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

Permohonan reman dikemukakan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Inspektor Nurul Amira Razali.

Berdasarkan keterangan kes yang dikemukakan di mahkamah, polis menerima maklumat mengenai satu rakaman video berdurasi 27 saat yang tular menerusi aplikasi WhatsApp memaparkan pergaduhan membabitkan beberapa pelajar dengan seorang lelaki awam di kawasan kedai Batu 5, Jalan Apas.

Dalam kejadian itu, lelaki terbabit dipercayai menggunakan topi keledar sebagai senjata ketika pergaduhan berlaku.

Susulan kejadian berkenaan, sepasukan polis menahan semua pelajar berusia 13 dan 14 tahun kira-kira jam 3 petang semalam bagi membantu siasatan.

Siasatan awal mendapati pergaduhan dipercayai tercetus susulan perselisihan berkaitan dakwaan penyebaran gambar dan video berunsur seksual yang disunting menggunakan teknologi AI.

Kandungan berkenaan dipercayai menggunakan wajah dua individu sebelum didakwa tersebar di media sosial sehingga mencetuskan ketegangan antara pihak terbabit.

Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut polis mendapati tiada sebarang video suntingan AI seperti yang didakwa ditemui di mana-mana platform media sosial.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

PEMANDU BAS PELANCONG REMPUH KERETA KETIKA CUBA LARIKAN DIRI

RAMPAS: Dadah Jenis Ekstasi Yang Dirampas Polis Dalam Operasi Di Jalan Penampang Baru, Penampang. KOTA KINABALU: Seorang pemandu bas pelancong …

11 TAHANAN WARGA THAILAND DIHANTAR PULANG MELALUI ICQS RANTAU PANJANG

Seramai 11 tahanan warganegara Thailand dihantar pulang ke negara asal melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, …

PENAGIH DAN PENYALAH GUNA DADAH TERENGGANU TURUN 7.2 PERATUS

Jumlah penagih dan penyalah guna dadah di Terengganu menurun 7.2 peratus kepada 7,582 orang pada suku pertama 2026 berbanding 8,174 …