KERAJAAN NEGERI USAHA TAMBAH BAIK PELAKSANAAN SUBSIDI DIESEL DI SABAH

HAJIJI

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sedang mengadakan libat urus bersama Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) dan agensi Persekutuan berkaitan bagi mempertimbangkan mekanisme penambahbaikan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar di Sabah yang mula berkuat kuasa pada 1 Julai lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, mesyuarat susulan antara agensi Kerajaan Negeri, Kementerian Kewangan Malaysia dan agensi Persekutuan berkaitan akan diadakan pada 17 Julai ini.

“Mesyuarat akan dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman bagi memperincikan isu yang dibangkitkan serta cadangan penambahbaikan terhadap mekanisme pelaksanaan subsidi diesel di negeri ini.

“Peluasan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar ke Sabah yang bermula pada 1 Julai lalu turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Julai,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri mengambil perhatian serius terhadap isu yang dibangkitkan pelbagai pihak susulan pelaksanaan mekanisme baharu itu.

“Kementerian Kewangan Malaysia dan agensi kerajaan berkaitan sudah diarahkan memperincikan setiap isu yang dibangkitkan selain meneliti cadangan bersesuaian bagi menangani permasalahan yang dihadapi golongan terkesan.

“Hasil libat urus berkenaan diharap dapat memperkemaskan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar tanpa menjejaskan objektif penyasaran subsidi oleh kerajaan,” katanya.

Pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar di Sabah menggunakan mekanisme Bantuan Subsidi MADANI (BUDI) yang diperluaskan ke negeri ini bermula 1 Julai lalu dengan penyesuaian mengikut keperluan tempatan.

Program BUDI menyediakan bantuan tunai kepada individu dan sektor tertentu yang layak bagi mengimbangi kesan penyasaran subsidi diesel, sekali gus memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan.

Antara kategori bantuan di bawah inisiatif itu ialah BUDI Individu untuk pemilik kenderaan diesel persendirian yang memenuhi syarat kelayakan, selain BUDI Agri-Komoditi yang memberi manfaat kepada pengusaha sektor pertanian dan komoditi yang layak.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini memaklumkan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar menerusi mekanisme BUDI bertujuan mengurangkan ketirisan subsidi, memperkukuh kedudukan fiskal negara serta membolehkan penjimatan disalurkan kepada keutamaan pembangunan dan kebajikan rakyat.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi)  Program Jualan …