JBPM SIAP SIAGA HADAPI FENOMENA EL NINO

SERAH: Penyerahan surat pelantikan Pegawai Pemantauan Kebakaran Terbuka Komuniti bagi daerah Tuaran, Putatan, Penampang, Lintas dan Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi fenomena El Nino yang dijangka menyebabkan cuaca panas dan kering di negeri ini.

Ketua Zon Kota Kinabalu JBPM Sabah, Penguasa Kanan Bomba I Johari Dzulkifli berkata, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Sabah dijangka mengalami cuaca panas berpanjangan sehingga penghujung September.

Beliau berkata, semua balai bomba di bawah Zon Kota Kinabalu sudah diarahkan membuat persediaan rapi, khususnya membabitkan logistik, kewangan dan peralatan operasi.

“Saya mengarahkan semua daerah dalam Zon Kota Kinabalu supaya bersiap sedia terutama dari segi logistik, kewangan dan peralatan.

“Dari segi tenaga kerja, saya menyerahkan kepada budi bicara setiap Ketua Balai untuk menentukan keperluan penambahan anggota berdasarkan situasi dan risiko di kawasan masing-masing,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran.

Johari berkata, JBPM turut menyelaras tindakan bersama agensi berkaitan termasuk MetMalaysia, Jabatan Air Sabah dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan pemantauan serta tindakan awal dapat dilaksanakan dengan berkesan.

PERIKSA: Pemeriksaan Logistik Semasa Lawatan Kerja Ke Balai Bomba Dan Penyelamat Tuaran.

Dalam usaha memperkukuhkan pemantauan di peringkat komuniti, beliau mengumumkan pelantikan Pegawai Pemantauan Kebakaran Terbuka Komuniti bagi daerah Tuaran, Putatan, Penampang, Lintas dan Kota Kinabalu.

Pelantikan itu membabitkan wakil Ketua Bomba Sukarela dan Bomba Komuniti yang berperanan sebagai penyelaras pemantauan di kawasan masing-masing, selain menjadi penghubung antara komuniti dengan JBPM dalam menyalurkan maklumat berkaitan kebakaran terbuka.

“Semua Bomba Sukarela dan Bomba Komuniti turut diarahkan memantau kawasan masing-masing, khususnya lokasi yang berisiko berlaku kebakaran terbuka.

“Kerjasama semua pihak amat penting termasuk memantau sumber bekalan air serta melaporkan sebarang kejadian dengan segera kepada pihak berkuasa,” katanya,

Menurutnya, pendekatan itu diharap dapat mempercepatkan tindakan awal, mengurangkan risiko kebakaran terbuka daripada merebak serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan masyarakat sepanjang tempoh cuaca panas akibat fenomena El Nino.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

PEMANDU BAS PELANCONG REMPUH KERETA KETIKA CUBA LARIKAN DIRI

RAMPAS: Dadah Jenis Ekstasi Yang Dirampas Polis Dalam Operasi Di Jalan Penampang Baru, Penampang. KOTA KINABALU: Seorang pemandu bas pelancong …

11 TAHANAN WARGA THAILAND DIHANTAR PULANG MELALUI ICQS RANTAU PANJANG

Seramai 11 tahanan warganegara Thailand dihantar pulang ke negara asal melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, …

PENAGIH DAN PENYALAH GUNA DADAH TERENGGANU TURUN 7.2 PERATUS

Jumlah penagih dan penyalah guna dadah di Terengganu menurun 7.2 peratus kepada 7,582 orang pada suku pertama 2026 berbanding 8,174 …