PPM RAMPAS ROKOK SELUDUP HAMPIR RM600,000

RAMPASAN: Rokok tidak bercukai yang dirampas dalam operasi berkenaan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai dengan rampasan bernilai hampir RM600,000 dalam operasi di Jalan Sin On Tiku, di sini, semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 9 malam itu, dua lelaki warga tempatan berusia 35 dan 40 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, kejayaan itu hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan oleh pihaknya.

Katanya, sepasukan anggota PPM menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum menjalankan pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah besar rokok tidak bercukai yang disembunyikan di dalam kenderaan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati rokok terbabit dipercayai diseludup dari negara jiran, Indonesia, untuk dipasarkan di sekitar daerah Tawau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, keseluruhannya sebanyak 365,200 batang rokok tidak bercukai pelbagai jenama berjaya dirampas dalam operasi berkenaan.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan yang disita adalah RM593,800.

“Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Menurutnya, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempertingkatkan operasi penguatkuasaan dan risikan bagi membanteras kegiatan penyeludupan yang menjejaskan ekonomi negara.

“PPM komited untuk terus memerangi aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

“Orang ramai digesa supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti penyeludupan di kawasan masing-masing,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

OPERASI BERSEPADU ESSCOM BELURAN CATAT RM407,644.69 NILAI KOMPAUN, RAMPASAN

OPERASI: Salah satu siri pemeriksaan yang dilaksanakan sepanjang Operasi Bersepadu ESSCOM Beluran. BELURAN: Operasi Bersepadu Daerah Beluran yang dilaksanakan Eastern …

TRAGEDI DI JALAN RAYA: KESEDARAN MENGHORMATI GARISAN BERKEMBAR

Sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemandu yang gemar memotong kenderaan di garisan berkembar merupakan antara punca utama berlakunya kemalangan maut. Tindakan …

BAHAYA KENDERAAN LEBIH MUATAN: PATUHI HAD DEMI KESELAMATAN JALAN RAYA

Isu kenderaan membawa lebih muatan (overloading) kini menjadi fokus utama penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana risiko impak negatifnya terhadap …