BIDANG PENDIDIKAN, TVET DAN AI DIPERKASA UNTUK PEMBANGUNAN MODAL INSAN

ANUGERAH: Hajiji bersama penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Tahun 2026, Dr. Mohd Kassim Tusin dan Tokoh Guru Tahun 2026, Kasbulan Mangun pada Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) Tahun 2026 hari ini.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus memberi perhatian dan keutamaan kepada agenda pembangunan pendidikan negeri menerusi pemerkasaan modal insan, peluasan bantuan pendidikan serta pengukuhan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta literasi kecerdasan buatan (AI).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata usaha itu penting bagi memastikan setiap anak Sabah memperoleh peluang pendidikan terbaik tanpa mengira kaum dan latar belakang, sekali gus melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia serta berdaya saing.

Beliau berkata, pembangunan modal insan akan terus diperkasa sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan memperkukuhkan masa depan Sabah.

“Bidang kemahiran dan pembangunan belia akan terus diperkasa melalui peluasan biasiswa dan bantuan pendidikan. Pemerkasaan TVET, pengukuhan STEM, latihan pertanian dan teknologi digital dengan penumpuan terhadap literasi AI adalah antara bidang yang turut diberi keutamaan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) Kali Keempat Tahun 2026 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) di sini hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha memperkasakan pendidikan melalui pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik bersama JPNS serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurutnya, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pembinaan dan naik taraf sekolah, penyediaan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), program motivasi murid luar bandar, bantuan biasiswa kepada pelajar kurang berkemampuan serta pelbagai intervensi pendidikan bagi meningkatkan pencapaian akademik dan sahsiah pelajar.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga meneruskan pelbagai bantuan pendidikan termasuk biasiswa dan dermasiswa serta 14 inisiatif bantuan pendidikan sedia ada.

“Antara bantuan yang disediakan ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer, Bantuan Khas Tunai Peperiksaan, Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).

“Selain itu, Yayasan Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) turut menawarkan bantuan pendidikan yang boleh dimanfaatkan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, segala bantuan dan usaha yang disalurkan itu bertujuan memberi manfaat kepada generasi muda selain menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidikan atas pencapaian memberangsangkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Katanya, peningkatan prestasi berdasarkan Gred Purata Negeri (GPN) daripada 5.00 pada 2024 kepada 4.85 pada 2025 membuktikan komitmen tinggi dan usaha gigih warga pendidik dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan di Sabah.

“Pencapaian ini adalah hasil kerjasama erat antara guru, ibu bapa dan seluruh pihak yang terlibat dalam sistem pendidikan.

“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus melonjakkan kecemerlangan pendidikan negeri Sabah pada masa hadapan,” katanya.

Hajiji berkata, guru merupakan tonggak utama pembangunan negara kerana bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membentuk akhlak dan nilai murni dalam kalangan generasi muda.

Sehubungan itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik atas komitmen, keikhlasan dan dedikasi mereka dalam melaksanakan amanah mendidik anak bangsa.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …