KPDN RAMPAS LEBIH EMPAT TAN TEPUNG, GULA BERNILAI RM13,137

RAMPAS: Antara barang kawalan yang dirampas dalam operasi berkenaan.

SEMPORNA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna merampas lebih empat tan barang kawalan bersubsidi bernilai RM13,137.28 menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di daerah ini, semalam.

Rampasan itu membabitkan 3,979.8 kilogram tepung gandum pelbagai jenama dan 1,128 kilogram gula pasir kasar yang disimpan di sebuah premis tidak dilesenkan atau dibenarkan oleh Pengawal Bekalan.

KPDN Sabah dalam kenyataannya berkata, kes berkenaan adalah hasil serahan daripada Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak yang menjalankan operasi di sekitar Pekan Semporna, semalam.

Menurutnya, sitaan membabitkan 59 kotak Tepung Gandum Cap Kuda seberat 590 kilogram, 249 kotak Tepung Gandum Cap Lili seberat 2,539.8 kilogram dan 34 karung Tepung Gandum Cap Kuda seberat 850 kilogram.

“Turut dirampas 47 bundle gula pasir kasar jenama Prai seberat 1,128 kilogram yang ditemui disimpan di dalam sebuah premis yang tidak mempunyai lesen atau kebenaran daripada Pengawal Bekalan.

“Dalam operasi itu, seorang lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan,” menurut kenyataan itu.

KPDN berkata, susulan rampasan berkenaan, satu kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pihaknya memandang serius sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi dan akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan bagi memastikan bekalan barangan keperluan sampai kepada golongan yang layak.

“KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

“Mereka yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122],” katanya.

Bagi individu, katanya, jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

SATU KLIK BOLEH MEMBAWA PADAH

Warga emas merupakan antara golongan yang paling kerap menjadi sasaran penipuan dalam talian. Oleh itu, marilah kita bersama-sama membantu melindungi …

NOTIFIKASI HAJI: DEPOSIT KENA CAPAI RM15,000, BERJALAN 10,000 LANGKAH SEHARI – TH

Lembaga Tabung Haji (TH) mula menghantar notifikasi peringatan kepada bakal jemaah haji musim 1448H/2027M dan 1449H/2028M supaya membuat persediaan awal …

ANTARA BENCANA DAN KEMALANGAN

🚨 Bencana atau kemalangan? Ramai masih keliru dengan perbezaannya. Hakikatnya, tidak semua kejadian dikategorikan sebagai bencana. Bencana ialah kejadian yang …