PANGKALAN LAUT TUN SHARIFAH RODZIAH TAMAT OPERASI SELEPAS HAMPIR SEDEKAD

ALBUM: Khir Junaidi bergambar bersama pegawai dan anggota TLDM di : Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah. 

SEMPORNA: Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) yang menjadi antara aset strategik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam menjaga keselamatan perairan Sabah Timur sejak 2015, secara rasmi ditamatkan operasinya selepas hampir sedekad berkhidmat.

Panglima Armada Timur TLDM, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris, berkata PL TSR banyak memainkan peranan penting sebagai benteng hadapan dalam memperkukuhkan kawalan keselamatan maritim di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Katanya, kedudukan strategik pangkalan berkenaan membolehkan TLDM melaksanakan pemantauan berterusan serta memberi tindak balas pantas terhadap sebarang ancaman di perairan Sabah Timur.

“PL TSR bukan sekadar pangkalan operasi, tetapi simbol kehadiran berterusan TLDM dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara, khususnya di Sabah Timur,” katanya ketika Majlis Pembubaran PL TSR di Markas Wilayah Laut 2, di sini, semalam.

Beliau berkata, sepanjang hampir 10 tahun beroperasi, pangkalan itu telah menyokong pelbagai operasi keselamatan maritim serta memperkukuh kehadiran aset TLDM di kawasan berisiko tinggi.

PL TSR yang mula beroperasi pada 31 Julai 2015 itu asalnya merupakan Platform Mobile Offshore Production Unit dikenali sebagai Hercules 259 yang dibina di Houston, Amerika Syarikat pada 1973 sebelum ditukar fungsi menjadi pangkalan laut hadapan hasil kerjasama TLDM, PETRONAS dan SapuraKencana.

Khir Junaidi berkata, penamatan operasi PL TSR adalah sebahagian daripada penstrukturan semula aset dan keupayaan operasi TLDM mengikut keperluan semasa serta cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

Namun, beliau menegaskan penamatan operasi itu tidak menjejaskan kehadiran TLDM di kawasan berkenaan.

Sebaliknya, katanya, peranan PL TSR akan diteruskan melalui Kapal Auksiliari Tun Azizan (KA TAZ) bagi memastikan kesinambungan operasi dan kesiagaan pertahanan maritim di Sabah Timur.

“TLDM akan terus memperkukuh keupayaan operasi bagi memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara dan mampu menghadapi sebarang cabaran keselamatan pada masa akan datang,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …