MINDET TERUS SOKONG SYARIKAT SABAH TEMBUSI PASARAN GLOBAL

LAWAT: Ewon melawat pameran BTC, antara syarikat tempatan Sabah yang menyertai expo terbabit.

SEOUL: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah komited memperkukuh daya saing perusahaan tempatan menerusi pelbagai inisiatif bagi membantu lebih banyak syarikat negeri ini menembusi pasaran antarabangsa.

Menterinya yang juga Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kerajaan negeri akan terus menyediakan sokongan kepada usahawan dan syarikat tempatan melalui program sedia ada serta inisiatif baharu yang dirangka mengikut keperluan industri semasa.

Menurutnya, perkembangan positif syarikat Sabah yang berjaya mengembangkan operasi ke luar negara membuktikan kemampuan perusahaan tempatan bersaing di peringkat global.

“Saya berbangga kerana semakin banyak syarikat tempatan Sabah berjaya menembusi pasaran global dengan perolehan mencecah jutaan hingga puluhan juta ringgit setahun.

“Kejayaan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat terbabit, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan serta mewujudkan rantaian bekalan dan perkhidmatan yang lebih kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan upacara ringkas pembukaan Pavilion Sabah sempena Seoul Food & Hotel Expo 2026 di Korea International Exhibition Center (KINTEX), di sini.

RASMI: Ewon (tiga kanan) memotong riben sebagai simbolik perasmian Pavilon Sabah sempena Seoul Food & Hotel Expo 2026, turut kelihatan Thomas (dua dari kanan), Jack (kanan) dan Cecilia.

Sebanyak lapan syarikat dari Sabah mengambil bahagian dalam ekspo berkenaan bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan masing-masing kepada pembeli serta pelabur antarabangsa.

Syarikat yang menyertai ekspo itu ialah Kerupuk Lelek Enterprise Sdn Bhd, Yuly Global International Sdn Bhd, Aryana Food Sdn Bhd, Hong Xin Food Sdn Bhd, RDS Juta Food Industries Sdn Bhd, Norcy Beautylab Sdn Bhd, BTC Corporation Sdn Bhd dan Takahari Marketing Sdn Bhd.

Ewon berkata, penyertaan dalam pameran perdagangan antarabangsa penting bagi membantu syarikat tempatan memperluaskan jaringan perniagaan serta meneroka peluang eksport baharu.

Katanya, usaha berterusan semua pihak memainkan peranan penting dalam memastikan produk dan jenama dari Sabah terus mendapat tempat di pasaran luar negara.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi dan rakan strategik yang membantu memperluaskan akses syarikat Sabah ke pasaran global.

“Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) antara agensi yang banyak membantu memudah cara penyertaan syarikat tempatan dalam pelbagai program promosi perdagangan dan pembangunan eksport.

“Kerjasama erat antara kerajaan, agensi berkaitan dan pemain industri perlu diteruskan bagi memastikan lebih banyak syarikat Sabah mampu berkembang ke pasaran antarabangsa,” katanya.

Ewon berkata, penyertaan syarikat Sabah dalam Seoul Food & Hotel Expo 2026 dijangka membuka lebih banyak peluang perdagangan, pelaburan dan kerjasama strategik dengan syarikat luar negara.

Beliau yakin platform berkenaan mampu meningkatkan lagi kehadiran produk serta jenama Sabah di pasaran dunia sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Terdahulu, Ewon menghadiri upacara pembukaan rasmi Seoul Food & Hotel Expo 2026 bersama delegasi Sabah yang lain

Ekspo berkenaan menghimpunkan lebih 3,400 reruai membabitkan 1,800 syarikat dari 49 negara dan wilayah, termasuk Malaysia yang turut menampilkan Pavilion Sabah.

Turut mengiringi lawatan kerja itu ialah Setiausaha Tetap MINDET Datuk Thomas Logijin, Ketua Pegawai Eksekutif KKIP Cecilia Amid, Pengurus Besar Kumpulan SEDCO Datuk Ir James Wong Kein Peng, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah Bhd Kevin Ukang serta pegawai MINDET dan agensi kementerian.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi)  Program Jualan …

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi)  Program Jualan …

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi)  Program Jualan …