341 INDIVIDU DITAHAN DALAM OPS PELICAN, SINDIKET PENIPUAN ANTARABANGSA TUMPAS

SIDANG MEDIA: Jauteh menunjukkan alat telekomunikasi dan komputer riba yang dirampas sepanjang operasi JSJK.

KOTA KINABALU: Polis Sabah menumpaskan sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi di negeri ini selepas menahan 341 individu menerusi 12 serbuan khas di lima daerah dan Labuan sejak Januari lalu.

Dalam operasi dikenali sebagai Ops Pelican itu, pelbagai peralatan komunikasi, dokumen serta wang tunai bernilai lebih RM1.1 juta turut dirampas.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sabah hasil risikan dan pemantauan berterusan terhadap kegiatan sindiket ‘calling centre’ yang menjadikan Sabah sebagai pangkalan operasi.

“Sepanjang tempoh berkenaan, empat serbuan dijalankan di Kota Kinabalu, masing-masing tiga di Tawau dan Labuan, manakala satu serbuan dilakukan di Sandakan dan Penampang.

“Hasil siasatan mendapati kumpulan ini menjalankan pelbagai aktiviti jenayah komersial termasuk penipuan pelaburan tidak wujud, pelaburan saham palsu, love scam, pinjaman wang tidak wujud, penyamaran sebagai pegawai polis dan perjudian dalam talian.

“Mereka juga berperanan menerima serta memindahkan wang hasil penipuan selain mengendalikan kegiatan penipuan dan perjudian dalam talian yang menyasarkan mangsa di beberapa negara,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata, sindiket terbabit menggunakan pelbagai aplikasi komunikasi seperti WhatsApp, Telegram, Kakao Talk, Line dan Band bagi memperdaya mangsa sebelum mengarahkan mereka membuat transaksi kewangan ke akaun yang dikawal sindiket.

Katanya, siasatan mendapati mangsa bukan hanya membabitkan rakyat Malaysia malah warga asing dari Korea Selatan, Taiwan, Amerika Syarikat, Jepun, Brazil, Hong Kong dan Thailand.

Menurutnya, daripada 341 individu yang ditahan, seramai 305 adalah lelaki manakala 36 perempuan berusia antara 17 hingga 60 tahun.

“Berdasarkan kewarganegaraan, seramai 303 suspek adalah warga China, 27 warga Malaysia, sembilan warga Vietnam serta masing-masing seorang warga Taiwan dan Laos.

“Kebanyakan suspek berperanan sebagai penyelia operasi, khidmat pelanggan, pengatur cara sistem, pengurus projek, pentadbir kewangan, penghantar wang dan individu yang mengendalikan komunikasi dengan mangsa,” katanya.

Dalam operasi sama katanya, polis merampas 1,109 telefon bimbit, 128 komputer dan desktop, 20 komputer riba serta 18 modem dan peranti internet.

“Turut dirampas wang tunai berjumlah RM210,265 selain dokumen kewangan, kad SIM, skrip penipuan, peralatan komunikasi, dokumen transaksi serta uniform dan aksesori yang digunakan bagi tujuan penyamaran.

“Keseluruhan rampasan membabitkan 1,542 barangan kes dengan nilai dianggarkan melebihi RM1.107 juta.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan selain beberapa peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, 11 daripada 12 kes berjaya dituduh di mahkamah manakala satu lagi masih dalam tindakan lanjut.

“JSJK Sabah akan terus mempergiat risikan, pemantauan dan operasi penguatkuasaan bagi memastikan Sabah tidak dijadikan pusat operasi sindiket penipuan tempatan atau antarabangsa.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi, pinjaman mudah, urusan percintaan dalam talian dan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi)  Program Jualan …

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi)  Program Jualan …

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi)  Program Jualan …