POLIS RAMPAS SYABU HAMPIR RM8 JUTA, BURU TIGA LAGI SUSPEK DALAM OP BAYU 9

RAMPAS: Dadah yang dirampas semasa serbuan Op Bayu 9 yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini 22 Mei lalu.

KOTA KINABALU: Polis Sabah merampas 159.8 kilogram syabu bernilai hampir RM8 juta dan menahan tiga individu termasuk seorang wanita dalam Op Bayu 9 yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini 22 Mei lalu.

Rampasan berkenaan disifatkan antara kejayaan terbesar Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah tahun ini dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah di negeri berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi bermula hasil maklumat risikan sebelum pasukan JSJN IPK Sabah mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang mengangkat sebuah kotak berhampiran pusat beli-belah di Jalan Lintas di sini.

Katanya, suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan sebelum pemeriksaan menemukan sembilan bungkusan syabu seberat 9.1 kilogram di dalam kotak yang dibawanya.

“Susulan tangkapan itu, pasukan operasi menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah di Luyang dan menemukan sejumlah paket plastik lutsinar yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pembungkusan dadah.

“Siasatan seterusnya membawa kepada penahanan seorang lelaki dan seorang wanita di sebuah hotel di pusat bandar yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian pengedaran dadah berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini.

Hadir sama Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil.

Menurutnya, maklumat yang diperoleh daripada suspek pertama membawa kepada serbuan di sebuah unit pangsapuri di Inanam.

“Dalam serbuan itu, polis menemukan 68 bungkusan syabu seberat 69.8 kilogram yang dipercayai disimpan bagi tujuan pengedaran.

“Operasi diteruskan pada malam hari sama apabila pasukan polis memeriksa sebuah kenderaan di kawasan parkir apartment berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan 79 lagi bungkusan syabu seberat 80.9 kilogram yang disorokkan di beberapa bahagian kenderaan termasuk pintu penumpang, tempat duduk belakang dan ruang simpanan belakang,” katanya.

Katanya, secara keseluruhan, sebanyak 156 bungkusan syabu dengan berat 159.8 kilogram berjaya dirampas dan dianggarkan bernilai RM7.99 juta.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek yang ditahan adalah warga tempatan berusia antara 18 hingga 49 tahun.

“Hadil ujian saringan air kencing mendapati hanya suspek wanita didapati positif dadah manakala semakan rekod lampau menunjukkan semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah atau kesalahan berkaitan dadah.

“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan dan polis sedang memburu tiga lagi individu yang dipercayai anggota sindiket sama.

“Identiti semua individu yang dikehendaki sudah dikenal pasti dan usaha mengesan mereka sedang dipergiatkan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau juga percaya masih terdapat beberapa lagi individu yang memainkan peranan penting dalam rangkaian pengedaran ini.

Selain dadah katanya, polis turut menyita dua kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipercayai digunakan dalam aktiviti sindiket berkenaan.

Jauteh berkata, jumlah syabu yang dirampas dianggarkan mampu digunakan lebih 454,000 penagih dan kejayaan itu berjaya menghalang bekalan dadah berkenaan daripada memasuki pasaran tempatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

“JSJN Sabah akan terus memperhebat operasi membanteras pengedaran dadah dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah bagi membantu pihak berkuasa memerangi ancaman berkenaan,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi)  Program Jualan …

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi)  Program Jualan …

PROGRAM JUALAN RAHMAH MADANI

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi)  Program Jualan …