PESERTA: Seramai 24 pelajar Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS), Universiti Malaysia Sabah menyertai Program Mobiliti Antarabangsa ke Indonesia.
KOTA KINABALU: Seramai 24 pelajar Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS), Universiti Malaysia Sabah menyertai Program Mobiliti Antarabangsa ke Indonesia baru-baru ini bagi memperluas pengalaman akademik serta meningkatkan kompetensi global mahasiswa.
Program selama seminggu di Bandung itu melibatkan kerjasama beberapa institusi pengajian tinggi Indonesia termasuk Universitas Pendidikan Indonesia, Universitas Jenderal Achmad Yani, Universitas Pasundan dan Politeknik Kesejahteraan Sosial Bandung.
Dekan FPKS UMS, Prof Dr. Mohd Dahlan A Malek berkata, program mobiliti antarabangsa itu menjadi platform penting dalam melahirkan graduan yang lebih berdaya saing serta mempunyai perspektif global.
Katanya, pendedahan di peringkat antarabangsa mampu membantu mahasiswa membina keyakinan diri selain memahami budaya dan sistem pendidikan negara lain.
“Program seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk keluar daripada zon selesa, memahami budaya negara lain serta membina hubungan antarabangsa yang bermanfaat untuk masa depan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Delegasi FPKS itu terdiri daripada pelajar Program Psikologi Industri dan Organisasi yang diketuai Pengarah Program, Fasyalinda Sarbi.
Sepanjang berada di Indonesia, para peserta mengikuti pelbagai aktiviti akademik dan kebudayaan termasuk sesi perkongsian ilmu, pembentangan akademik, lawatan institusi serta program pertukaran budaya bersama mahasiswa tempatan.
Delegasi turut mengadakan lawatan ke Radio Republik Indonesia bagi memahami peranan media dan penyiaran dalam masyarakat setempat.
Sementara itu, Fasyalinda berkata, program tersebut memberi peluang kepada mahasiswa melihat dunia luar daripada perspektif lebih luas selain membina jaringan akademik rentas negara.
“Program ini diharap dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama antarabangsa antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Indonesia pada masa hadapan,” katanya.
Turut menyertai program itu ialah dua pensyarah pengiring, Prof Madya Dr. Muhammad Idris Bullare dan Dr. Lailawati Madlan.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



