MKN SELANGOR PERKASA KESEDARAN KESELAMATAN NEGARA MELALUI PROGRAM BICARA EKSEKUTIF GURU MUDA MADANI 2026

SUNGAI BULOH, 5 NOVEMBER 2026 – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama strategik Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) telah menganjurkan Program Bicara Eksekutif Guru Muda MADANI Tahun 2026 bertemakan “Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama” bertempat di Auditorium Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Sungai Buloh, Selangor.

Program yang melibatkan seramai 400 orang Guru Muda ini merupakan inisiatif MKN Negeri Selangor untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman warga pendidik, khususnya golongan guru muda, mengenai kepentingan keselamatan negara serta cabaran keselamatan semasa yang boleh memberikan kesan terhadap keamanan, keharmonian dan kestabilan negara.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh ucapan alu-aluan oleh Encik Muhamad Nazri bin Mohd Amin, Pegawai Penerangan yang mewakili Pengarah Keselamatan Negeri, MKN Selangor. Ucapan perasmian pula disampaikan oleh YBrs. Tuan Abdul Rahim bin Khalid, Timbalan Pengarah, Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, yang mewakili Pengarah Pendidikan Negeri Selangor.

Program diteruskan dengan dua sesi perkongsian utama yang memberikan tumpuan kepada isu dan cabaran keselamatan negara dalam persekitaran digital masa kini.

Slot pertama bertajuk “Ancaman Media Sosial Terhadap Keselamatan Negara: Peranan Guru Sebagai Benteng Pertama” telah disampaikan oleh Encik Mohd Kamal bin Ali, Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Strategik, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri. Sesi ini memberikan pendedahan mengenai ancaman media sosial serta kepentingan peranan guru dalam membendung penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman masyarakat.

Slot kedua bertajuk “Kedaulatan Digital: Manipulasi Maklumat, Keselamatan Siber dan Ketenteraman Awam” pula telah disampaikan oleh Encik Hazlami bin Othman, Penolong Pengarah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Selangor. Perkongsian ini memberi fokus kepada isu manipulasi maklumat, ancaman keselamatan siber serta kepentingan kesedaran dan tanggungjawab dalam penggunaan ruang digital.

Kedua-dua sesi turut disusuli dengan sesi soal jawab bagi memberi peluang kepada peserta mendapatkan penjelasan lanjut serta berkongsi pandangan berkaitan isu keselamatan negara. Program turut menampilkan sesi interaktif melalui Kuiz Kesedaran Keselamatan Negara bersama Guru Muda bagi menguji pengetahuan dan meningkatkan penglibatan peserta terhadap aspek keselamatan negara.

Penglibatan golongan Guru Muda dalam program ini amat signifikan memandangkan warga pendidik mempunyai peranan penting dalam membentuk pemikiran, sahsiah dan jati diri generasi muda. Selain menyampaikan ilmu pengetahuan, guru turut berperanan memupuk semangat patriotisme, membina pemikiran kritis serta menerapkan nilai tanggungjawab dalam kalangan murid, termasuk keupayaan menilai kesahihan maklumat dan menggunakan media sosial secara berhemah.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan MKN Negeri Selangor dalam memperkukuh kesedaran keselamatan negara melalui kerjasama strategik bersama agensi kerajaan dan institusi pendidikan. Pendekatan ini diharapkan dapat memperluas pemahaman mengenai keselamatan negara serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam memelihara keamanan, keharmonian dan kestabilan negara.

Sesungguhnya, keselamatan negara bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, sebaliknya merupakan amanah dan tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia.

Artikel/Berita Terkini

MKN SELANGOR PERKASA KESEDARAN KESELAMATAN NEGARA MELALUI PROGRAM BICARA EKSEKUTIF GURU MUDA MADANI 2026

SUNGAI BULOH, 5 NOVEMBER 2026 – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama strategik Jabatan Pendidikan …

PENGHANTARAN PULANG DAN PENEMPATAN SEMULA KEKAL SEBAGAI KEUTAMAAN

Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Kementerian Luar Negeri terus mengusahakan kerjasama dengan negara asal dan negara ketiga bagi penyelesaian jangka …

DOKUMEN PENDAFTARAN PELARIAN (DPP)

TUJUAN DOKUMEN PENDAFTARAN PELARIAN (DPP) Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bertujuan membantu Kerajaan mengurus pelarian di Malaysia secara lebih tersusun, selamat …