MENUAI PERPADUAN, MERAIKAN KEHARMONIAN

RASMI: Hajiji bersama tetamu kenamaan lain menuai padi sebagai simbolik pelancaran Pesta Kaamatan 2026.

PAPAR: Kira-kira 10,000 orang membanjir daerah Papar pada 1 Mei lepas sempena dengan majlis pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Masyarakat, di sini.

Pelancaran itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dan dihadiri menteri Kabinet negeri serta pemimpin setempat.

Majlis pelancaran tersebut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan kehadiran pemimpin masyarakat setempat termasuk Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri yang bersama-sama meraikan pembukaan pesta yang berlangsung sepanjang bulan Mei ini.

Pesta Kaamatan merupakan perayaan tahunan masyarakat Kadazandusun Murut Rungus (KDMR) di Sabah sebagai tanda kesyukuran kepada ‘Bambazon’ (semangat padi) atas hasil tuaian yang diperoleh.

Orang ramai hadir berduyun-duyun seawal jam 6 pagi dan memenuhi persekitaran tempat acara beberlangsung.

MUHIBAH: Hajiji bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada acara perasmian itu.

Daerah Papar yang terletak dalam kawasan Parlimen Papar diwakili Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ia mempunyai tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Datuk Juil Nuatim (Limbahau), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang) dan Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra (Pantai Manis).

Dalam ucapannya, Hajiji menyifatkan pemilihan Papar sebagai tuan rumah pelancaran Pesta Kaamatan pada tahun ini amat bertepatan kerana Papar terkenal sebagai antara kawasan jelapang padi yang subur di negeri Sabah.

“Daerah Papar bukan sahaja kaya dengan hasilnya, tetapi juga kaya dengan nilai budaya dan semangat kekitaan masyarakatnya yang berbilang kaum, yang hidup dalam suasana aman dan harmoni. Inilah cerminan sebenar wajah Sabah yang kita banggakan,” katanya.

Selain sebagai daerah progresif dan berdaya saing, Papar juga mempunyai pusat kebudayaan Borneo Cultural Village dan Sekolah Adat Anak Negeri Sabah.

GIMIK: Hajiji diringi pemimpin lain menyempurnakan perasmian pelancaran itu.

Ketua Menteri berkata keunikan itu amat bertepatan dengan tema Pesta Kaamatan tahun ini, iaitu `Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian’ yang menzahirkan kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah yang berbilang kaum dan etnik.

Beliau merasa gembira dengan kehadiran dan semangat yang ditunjukkan oleh semua yang hadir pada majlis pelancaran Pesta Kaamatan ini tanpa mengira agama dan bangsa.

“Ini memperlihatkan tanggungjawab kita bersama untuk memastikan warisan seperti perayaan ini terus dipelihara, diperkasa dan diwariskan kepada generasi akan datang.

“Untuk itu, generasi muda harus dididik untuk memahami, menghormati dan menerima kepelbagaian sebagai satu landasan keharmonian dan kekuatan perpaduan, terutama dalam dunia yang semakin moden dan mencabar ini.

“Marilah kita terus memperkukuh perpaduan, memelihara keharmonian dan bersamasama membina masa depan yang lebih gemilang untuk negeri Sabah yang kita cintai ini,” katanya.

Ketua Menteri turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk projek pembinaan gelanggang futsal berbumbung dan lengkap dengan grandstand untuk daerah ini, susulan `bisikan’ daripada Juil yang memohon pertimbangannya.

Hajiji berkata kelulusan itu menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri yang mendengar dan tahu denyut nadi rakyat.

Sementara itu, Pegawai Daerah Papar, Muhammad Mohd. Ali, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana berkata, pemilihan daerah itu sebagai lokasi pelancaran membawa signifikasi besar terhadap identiti Pesta Kaamatan itu sendiri.

“Pemilihan Papar sebagai lokasi pelancaran tahun ini amat bermakna. Selain pesat membangun, daerah ini masih mengekalkan kira-kira 400 hingga 450 hektar kawasan sawah padi yang merupakan sumber makanan utama dan nadi kehidupan penduduk setempat,” katanya.SAMBUTAN TRADISI: Masyarakat berpakaian tradisi menyambut ketibaan Hajiji bagi perasmian acara itu

Menurut Muhammad, keunikan Papar yang didiami oleh masyarakat pelbagai kaum, etnik dan agama yang hidup rukun juga menjadikan ia lokasi paling tepat bagi menterjemahkan tema sambutan tahun ini iaitu ‘Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian’.

Katanya, Pesta Kaamatan bukan sekadar meraikan hasil tuaian yang melimpah-ruah, malah ia berfungsi sebagai simbol kekuatan budaya dan wadah memperkukuh integrasi nasional dalam kalangan rakyat negeri ini.

“Sambutan ini adalah refleksi semangat kerjasama erat antara kepimpinan kerajaan, wakil rakyat, dan seluruh jentera pelaksana dalam memastikan tradisi nenek moyang terus relevan dalam arus modenisasi,” tambahnya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …