Keselamatan merupakan perkara yang paling utama perlu dititikberatkan ketika memandu atau membonceng terutamanya sekiranya anda membawa anak-anak. Keselamatan mereka ketika berada di jalan raya merupakan tanggungjawab yang besar dan perlu diberi perhatian oleh ibu bapa atau penjaga. Namun, masih ada segelintir yang mengambil mudah tentang aspek keselamatan ini.
Amalan membonceng anak tanpa memakaikan topi keledar, membiarkan anak tanpa pengawasan serta membawa anak dalam keadaan tidak selamat merupakan tindakan yang boleh mengundang kepada risiko kemalangan dan kecederaan serius. Walaupun perjalanan anda Cuma pada jarak yang dekat, namun malang tidak berbau. Oleh itu, kita haruslah sentiasa berhati-hati dan saling mengingati tentang aspek keselamatan ini.
Antara langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil oleh ibu bapa atau penjaga sebelum memulakan perjalanan adalah :
- Pastikan anak memakai topi keledar yang bersesuaian dengan saiz kepala dan dipasang dengan betul serta diikat kemas.
- Pastikan anak berada dalam pengawasan dan mampu duduk dengan stabil serta selamat sepanjang perjalanan.
- Elakkan membawa anak dalam keadaan berbahaya,termasuk kedudukan membonceng yang tidak selamat dan tidak sesuai dengan kemampuan serta usia anak
- Amalkan pemanduan berhemah dengan mematuhi peraturan jalan raya dan sentiasa mengutamakan keselamatan.
Sentiasa ingat bahawa kecuaian walaupun hanya seketika boleh mengundang padah. Jangan kerana ingin menjimatkan masa atau memudahkan urusan harian, keselamatan dan nyawa anak-anak menjadi taruhan.
Anak-anak merupakan amanah dan tanggungjawab kita. Jadilah ibu bapa yang bertanggungjawab . peka dan prihatin dalam memastikan aspek keselamatan anak-anak sentiasa dijaga.
Ingat, pandu cermat, sampai selamat.
Sumber : Laman Rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia



