Pada 22 April (Khamis) dalam tahun 1982, Sultan dan Sultanah Kedah telah berangkat bagi merasmikan bangunan Terminal Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Kepala Batas, Kedah. Turut hadir sama di majlis tersebut ialah Raja Muda dan Raja Puan Muda Kedah, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abu Hassan Omar, Menteri Besar Datuk Sri Syed Nahar Shahabuddin, Ketua Pengarah Penerbangan Awam Malaysia, Dr. Abdul Kuddus Ahmad bersama isteri masing-masing. Projek pembinaan bangunan terminal baharu ini bermula pada awal tahun 1980 dan memakan belanja sebanyak 2 juta. Selain itu, projek ini merangkumi pembaharuan terhadap bangunan terminal yang ada untuk menempatkan bilik-bilik VIP dan pejabat. Tambahan juga, projek ini meliputi pembinaan sebuah bangunan baharu bagi memudahkan penumpang naik turun di terminal tersebut. Pihak Mas akan mula menyediakan perkhidmatan penerbangan malam sebanyak tiga kali dalam seminggu dari Kuala Lumpur ke Alor Setar dan sebaliknya.
Sumber : Arkib Negara Malaysia



