Kenderaan, jentera dan minyak adalah seperti isi dengan kuku. Tergugat salah satunya mampu menyebabkan terjejasnya kehidupan dan memberi beban yang amat mendalam terhadap kehidupan kita. Mutakhir ini kita berhadapan kenaikan harga minyak diesel dan petrol yang sampai ke tahap menyesakkan dada semua pengguna di negara kita.
Terkini harga petrol dan diesel bagi tempoh 16-22 April 2026 telah ditetapkan pada kadar RM4.02/liter (RON95), RM5.10/liter (RON 97) manakala diesel bagi B10/B20 adalah RM5.97/liter dan diesel B7 pula adalah RM6.17/liter. Tak terbayang kenaikan kos ini menyebabkan kenaikan kos sara hidup kita meningkat ketara dan pengguna kenderaan pula menepuk dahi memikir panjang sehingga menyebabkan ada kenderaan yang tidak lagi bergerak terutama untuk pengguna minyak diesel bagi kenderaan yang dimiliki.
Untuk mengurangkan beban kenaikan bahan api, ada beberapa langkah yang boleh diambil oleh pihak pengguna kenderaan di Malaysia. Pertama, bagi menjimatkan penggunaan dan kemampuan ekonomi yang mampan, disyorkan untuk peralihan ke pengangkutan awam. Menggunakan pengangkutan awam seperti bas, LRT, atau MRT dapat mengjimat bahan api dan mengurangi pengaliran keluar wang ringgit yang banyak untuk kenderaan masing-masing.
Kedua pula adalah beralih arah kepada sumber tenaga yang lain iaitu elektrik. Penggunaan Kenderaan Elektrik (EV) dapat menjadi solusi jangka panjang yang efektif, dengan insentif pembelian EV dan pemasangan stesen pengecas yang lebih banyak dapat mengimbangi bekalan minyak petrol dan diesel di pasaran dalam negara kita.
Seterusnya pula bertitik tolak kepada amalan pemanduan masing-masing. Dengan amalan pemanduan yang boleh menjimatkan minyak kenderaan seperti mengelakkan pecutan mengejut, memastikan tekanan tayar mencukupi, dan servis kenderaan secara berkala dapat menjimatkan bahan api hingga 10-20%.
Langkah lain pula adalah penggunaan bahan api alternatif iaitu menggunakan bahan api alternatif seperti biofuel dan hidrogen dapat membantu mengurangi kebergantungan pada minyak mentah dan menaiktaraf kemodenan industri penyelidikan di Malaysia .
Negara kita juga tidak dapat lari daripada pemberian keistimewaan subsidi bersasar. Pihak pengguna seharusnya memanfaatkan subsidi bersasar seperti program BUDI MADANI untuk membantu mengurangi beban kenaikan bahan api dan tidak menyeleweng ke arah perbuatan negatif yang merugikan bukan sahaja negara tetapi kehidupan diri sendiri.
Diharapkan sedikit perkongsian ini boleh dijadikan panduan untuk membantu memandu mengurangkan kebergantungan kita kepada minyak mentah untuk kenderaan masing-masing serta alternatif untuk memastikan ekonomi diri, keluarga dan negara mampu bertahan dalam mengharungi zaman yang serba mencabar kini.
Sumber :
- Portal budimadani.gov.my
- Pelan Induk Pengangkutan Awam darat & Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara
- infogtrafik : Kementerian Kewangan Malaysia



