Mendepani era modenisasi kini, masyarakat kita banyak disajikan berita kejadian menamatkan riwayat sendiri di kalangan golongan muda belia di negara kita. Ternyata ianya adalah asas kebimbangan yang nyata kerana golongan ini adalah pewaris kepimpinan negara dan sedia maklum diharap sebagai benteng kanan di kalangan masyarakat. Namun lain pula kejadiannya apabila golongan ini pula mengalami masalah kesihatan mental yang serius.
Dalam menangani masalah kesihatan mental di kalangan remaja dan belia, ianya memerlukan pendekatan yang komprehensif dan holistik. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil dan menjadi panduan kepada golongan belia khususnya dan masyarakat amnya.
Pertamanya adalah menerusi sistem pendidikan dan kesedaran. Seharusnya belia khasnya dan masyarakat umumnya perlu meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental dan menghapuskan stigma yang terkait dengan masalah kesihatan mental. Tidak perlu membatu mengharungi liku-liku masalah mental seorang diri dan wajib sedar kelompok masyarakat dan individu yang mampu membantu menangani masalah yang dihadapi.
Kedua adalah dukungan Keluarga dan komuniti. Institusi keluarga dan komuniti perlu memberikan dukungan dan lingkungan kesejahteraan yang aman bagi remaja dan belia untuk berbicara dan meluahkan tentang perasaan mereka. Tidak mungkin manusia tanpa masalah hidup dan hal ini memerlukan sokongan dan bantuan untuk mengelakkan masalah lain pula yang timbul.
Ketiga adalah mendidik lebih jauh bagi menerapkan maksud dan kesan atau bahana kegagalan menangani kesihatan mental. Informasi dan meningkatkan akses ke info kesihatan mental yang terjangkau dan berkualiti mampu mengubah situasi dari tertekan ke sejahtera. Paling utama mengurangkan risiko memilih menamatkan riwayat sendiri.
Keempat adalah melibatkan diri dalam aktiviti Kesejahteraan. Antaranya ialah mendorong aktiviti yang mempromosikan kesejahteraan mental, seperti olahraga, seni, dan kegiatan sosial serta bergaul dalam komuniti masyarakat tak kira lapisan. Ianya adalah benteng kuat untuk mengurangan masalah kesihatan mental dan menambah kesan teruk akibat kesihatan mental.
Seterusnya adalah berkait penggunaan media sosial yang sihat. Dengan cara ini, ianya dapat mengelakkan salah guna dan tafsiran serta pengaruh yang tidak baik yang mana mendorong kepada masalah penyelesaian kesihatan mental yang negatif. Tidak terkecuali ianya mengurangkan risiko buli siber di kalangan belia. Selain itu dukungan psikologi perlu disediakan yang terlatih dan diperakui untuk membantu remaja dan belia menghadapi masalah kesihatan mental.
Kesimpulannya bagi remaja dan belia, penting untuk mencari atau mendapatkan bantuan dan jangan ragu untuk mencari bantuan jika merasa tidak baik. Berbicaralah dan luahkan dengan orang yang dipercayai tentang perasaan dan masalah. Akhirnya perlu memilih cara mengurus stress atau tekanan dengan cara yang sihat, seperti bersukan dan kembali kepada ajaran agama kerana itulah benteng terakhir untuk mengingati asal usul kejadian kita dan kewujudan manusia di muka bumi ini.
Foto: https://alternatif.press/articles/pentingnya-kesihatan-mental



