Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu telah melaksanakan satu operasi penguatkuasaan bersepadu melalui Ops Sapu di sekitar daerah Marang, Dungun dan Kemaman, yang berjaya menahan seramai 67 pendatang asing tanpa izin (PATI) pada 12 April 2026.
Operasi yang diketuai oleh Pengarah Imigresen Negeri Terengganu, Tuan Mohd Yusri bin Mohd Nor, melibatkan pemeriksaan di empat lokasi berbeza, iaitu sebuah rumah pekerja ladang dan ladang ternakan di Kampung Durian Mentagau, sebuah kantin di kawasan kilang sawit Kemaman, serta satu tapak projek mega di Rantau Abang.
Sepanjang operasi dijalankan, seramai 97 individu telah diperiksa. Hasilnya, pihak berkuasa berjaya menahan 67 warga asing yang didapati melanggar peraturan imigresen. Daripada jumlah tersebut, 64 adalah lelaki, dua perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki berusia antara 1 hingga 59 tahun.
Dari segi kewarganegaraan, majoriti tahanan adalah warganegara Bangladesh seramai 56 orang, diikuti masing-masing tiga orang dari China, Indonesia dan Myanmar, serta seorang dari Pakistan dan seorang dari India. Selain itu, dua saman saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan lanjut.
Kesemua tangkapan dibuat di bawah peruntukan Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Mereka yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen Ajil untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu menegaskan komitmen berterusan dalam memperhebat operasi penguatkuasaan, khususnya di tapak projek berskala besar, kawasan industri dan penempatan pekerja. Langkah ini bertujuan memastikan hanya warga asing yang memiliki dokumen sah dan mematuhi syarat pas yang dibenarkan bekerja di negara ini. Operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen sentiasa terpelihara.
Sumber: Laman Facebook Rasmi Jabatan Imigresen Negeri Terengganu



