Kehadiran hidupan laut menyerupai obor-obor, dikenali sebagai Portuguese Man o’ War (PMoW), yang pernah terdampar di beberapa pantai negara seperti Terengganu, Kuantan, Pulau Tioman dan Sabah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat. Spesies yang lazim ditemui di Lautan Atlantik, Pasifik dan Lautan India ini dipercayai dibawa ke perairan negara akibat tiupan angin serta arus laut yang kuat.
Walaupun kelihatan seperti obor-obor, PMoW atau nama saintifik Physalia physalis sebenarnya ialah sejenis ‘siphonophore’, iaitu organisma yang terdiri daripada beberapa koloni yang hidup bersama dan saling bergantung antara satu sama lain. Ia mempunyai empat bahagian utama: pneumatophore yang berfungsi seperti layar, gastrozoid untuk mencerna makanan, tentacular palpon yang memiliki nematosis penyengat, serta ganodendron bagi tujuan pembiakan. Saiz badannya boleh mencecah 30 sentimeter panjang, manakala tentakelnya boleh menjangkau sehingga 50 meter di bawah permukaan air.
Sengatan PMoW boleh menyebabkan kesakitan, kesan melecur, kemerahan, melepuh dan ruam dalam tempoh 4 hingga 24 jam. Dalam kes tertentu, bisa yang disuntik mampu memberi kesan toksik kepada jantung, sistem saraf dan buah pinggang, malah pernah dilaporkan menyebabkan kematian di perairan Atlantik.
Sekiranya berlaku sengatan, mangsa perlu segera dibawa ke darat, diperiksa tahap kesedaran dan diberikan CPR jika perlu serta menghubungi 999. Bahagian terjejas hendaklah dibilas dengan cuka atau air laut, namun elakkan penggunaan air tawar kerana ia boleh merangsang pelepasan bisa. Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyentuh hidupan ini walaupun ia kelihatan tidak aktif di pantai.



