Saat menyarung pakaian baharu, rasa teruja itu sukar dibendung. Fabriknya yang masih keras dan warna yang terang serta baunya seakan “bau kedai” menambahkan lagi keterujaan pengguna bahawa ia bersih dan selamat. Namun, di sebalik rupa yang sempurna itu tersimpan satu persoalan penting yang sering diabaikan iaitu adakah pakaian baharu benar-benar selamat dipakai tanpa dibasuh terlebih dahulu?
Hakikatnya, pakaian baharu bukanlah sebersih yang disangka. Sebelum sampai ke tangan pengguna, pakaian tersebut melalui pelbagai proses termasuk pengilangan, pewarnaan, pembungkusan dan pengangkutan. Teknologi pembuatan di dalam industri tekstil menggunakan pelbagai jenis bahan kimia seperti Formaldehyde untuk mengekalkan bentuk, warna serta ketahanan fabrik. Sisa bahan kimia ini boleh melekat pada pakaian dan berisiko menyebabkan kegatalan, ruam, mata pedih serta alahan pada kulit terutamanya kepada individu berkulit sensitif, kanak-kanak dan bayi.
Selain itu, pakaian yang dipamerkan di kedai-kedai sering dicuba oleh ramai pelanggan. Ia boleh menyebabkan jangkitan melalui sentuhan tangan, peluh, sel kulit mati serta bakteria yang boleh melekat pada fabrik walaupun pakaian tersebut kelihatan bersih dan kemas. Apa yang tidak kelihatan dengan mata kasar ini sebenarnya boleh menjadi punca masalah kulit sekiranya pakaian terus dipakai tanpa dicuci.
Membasuh pakaian baharu sebelum dipakai adalah langkah pencegahan yang mudah dan sangat penting. Cucian pertama membantu menyingkirkan sisa bahan kimia, kotoran dan mikroorganisma berbahaya untuk menjadikan pakaian lebih bersih, selesa dan selamat dipakai dalam jangka masa panjang. Ia juga boleh melindungi kesihatan keluarga secara menyeluruh daripada sebarang penyakit.
Kesimpulannya, jangan biarkan keterujaan mengatasi kewaspadaan. Pakaian baharu mungkin nampak cantik di mata tetapi tahap kebersihannya sukar dipastikan. Pelindungan yang terbaik adalah membasuh dahulu pakaian sebelum dipakai kerana kesihatan tidak pernah mengenal istilah “baru” atau “lama”. Amalan mudah ini wajar dijadikan budaya harian oleh semua lapisan masyarakat.
Sumber:LEMON 8
https://www.lemon8-app.com/@kayu.manis30/7428095437044826625?region=my



