PEMBANGUNAN SOLAR SABAH DIPACU ECOS, PROJEK LSS TINGKAT KESELAMATAN TENAGA NEGERI

TINGKAT: Beberapa projek solar berskala besar atau LSA sedang dilaksanakan bagi mempelbagaikan campuran tenaga Sabah.

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh keselamatan tenaga negeri dan mempercepat peralihan kepada tenaga bersih menerusi pembangunan projek tenaga boleh baharu, khususnya solar berskala besar.

Dalam seliaan kawal selia ECoS, beberapa projek solar berskala besar atau Large-Scale Solar (LSS) sedang dilaksanakan bagi mempelbagaikan campuran tenaga Sabah, meningkatkan daya tahan grid serta mengurangkan kebergantungan jangka panjang terhadap sumber tenaga konvensional.

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, semua projek dibangunkan mengikut syarat pelesenan, piawaian teknikal dan keperluan grid yang diluluskan bagi memastikan aspek keselamatan, kebolehpercayaan serta kecekapan operasi sentiasa terjamin.

“Antara inisiatif utama, Projek Solar Teck Guan muncul sebagai antara projek LSS paling pantas berkembang di Sabah, sekali gus mencerminkan pelaksanaan projek yang tersusun dan kerjasama berkesan antara pemaju, ECoS serta pihak berkepentingan.

“Projek itu menjadi yang pertama menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (SPPA) dan memulakan pembinaan fizikal mengikut jadual pelaksanaan diluluskan.

“Kerja pembinaan kini berjalan lancar dan sasaran siap ditetapkan pada suku keempat 2026, sekali gus dijangka menyumbang kapasiti signifikan kepada penjanaan tenaga boleh baharu negeri sebaik siap sepenuhnya,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Jabatan Pembangunan Kapasiti Penjanaan ECoS, Emelinah Akin Ampon, dalam satu majlis berkaitan perkembangan projek tenaga negeri.

Beliau berkata, pembangunan infrastruktur tenaga boleh baharu seperti projek solar berskala besar mampu merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.

“Inisiatif ini membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, meningkatkan kepakaran teknikal serta menyokong pertumbuhan industri secara mampan di Sabah.

“Usaha berkenaan turut membantu memastikan bekalan elektrik kekal stabil, boleh dipercayai dan pada kadar mampu milik kepada pengguna,” katanya

Katanya, peralihan tenaga bersih memerlukan perancangan rapi serta tadbir urus kukuh supaya setiap projek memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan ekonomi negeri.

“Ketika Sabah bergerak ke arah agenda peralihan tenaga, ECoS kekal komited menjadi pengawal selia yang dipercayai dan berkesan, di samping menyokong pembangunan sektor tenaga secara bertanggungjawab.

“Kepentingan awam sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap keputusan kawal selia, selari dengan matlamat pertumbuhan mampan,” katanya.

Dalam masa sama katanya, ECoS terus bekerjasama rapat dengan pemaju projek, Sabah Electricity (SE) serta pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan setiap pelaksanaan mematuhi peraturan ditetapkan.

“Pendekatan ini juga menekankan ketelusan, pematuhan teknikal dan penyelarasan berterusan supaya integrasi tenaga solar ke dalam sistem grid berjalan lancar.

“Semua inisiatif tenaga boleh baharu diselaraskan dengan hala tuju jangka panjang negeri melalui Pelan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).

“Pelan itu menggariskan strategi memperluas kapasiti tenaga bersih, mengurangkan pelepasan karbon serta memperkukuh daya tahan sistem bekalan elektrik,” katanya.

Menurutnya, dengan pertambahan projek LSS, Sabah dijangka memiliki campuran tenaga lebih seimbang dan kurang terdedah kepada risiko gangguan bekalan bahan api konvensional.

“Perkembangan positif sektor solar juga dilihat mampu menarik pelaburan baharu serta merancakkan aktiviti ekonomi berkaitan teknologi hijau.

“ECoS menegaskan komitmen berterusan bagi memastikan setiap projek tenaga di Sabah dilaksanakan secara mampan, selamat dan memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat,” katanya.

 

 #MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …