KUNJUNGAN: James (empat kanan) menerima cenderakenangan daripada Au.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan menambah baik Skim Biasiswa Unified Examination Certificate (UEC) bagi meluaskan skop manfaat kepada lebih ramai pelajar sekolah persendirian Cina yang layak.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan pelajar berkelayakan mendapat akses pendidikan tinggi tanpa halangan kewangan.
Katanya, kerajaan negeri amat komited memastikan semua pelajar, termasuk pelajar UEC, mempunyai peluang yang sama untuk melanjutkan pengajian.
“Dengan skim biasiswa ini, kami berharap lebih ramai pelajar cemerlang dapat bersaing di peringkat lebih tinggi.
“Program ini juga mencerminkan usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan modal insan melalui sokongan kepada pelajar sekolah persendirian Cina,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi Dewan Sekolah-sekolah Persendirian Cina Sabah (Sabah Dong Zong) yang diketuai pengerusinya, Datuk Au Kam Wah di pejabatnya, baru-baru ini.
Guru Besar S.M. Tshung Tsin Sabah, Dr Chung Chin Hing memaklumkan calon sekolah persendirian Cina di Sabah mencatat kadar kelulusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melebihi 90 peratus secara konsisten sepanjang sedekad lalu.
Menurutnya, sekolah persendirian Cina di Sabah mempunyai keunikan apabila pelajar diwajibkan menduduki peperiksaan SPM sebelum mengambil UEC.
“Ia sekali gus membolehkan mereka memperoleh kelayakan berganda yang meningkatkan daya saing dalam pengajian tinggi dan pasaran pekerjaan,” katanya.
Sementara itu, Datuk Au merakamkan penghargaan atas komitmen kerajaan negeri serta menyatakan kesediaan pihaknya untuk terus bekerjasama dengan kerajaan dalam memajukan pendidikan sekolah persendirian Cina di Sabah.
Terdahulu, pertemuan berkenaan membincangkan mekanisme permohonan Skim Biasiswa UEC, piawaian penilaian serta langkah sokongan bagi memperkukuh akses pelajar sekolah persendirian Cina Sabah ke institusi pengajian tinggi.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



