TAEKWANDO: Ewon menyempurnakan Kejohanan Taekwando Kota Belud di Dewan Kompleks Sukan Botung, di sini.
KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) melipatgandakan usaha bagi memastikan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 berjalan lancar, khususnya dalam sektor perindustrian.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata pelan itu menggariskan agenda besar pembangunan perindustrian dan keusahawanan negeri yang memerlukan sokongan sistem logistik serta pelabuhan lebih cekap.
Menurutnya, peranan kementerian selari dengan mandat membangunkan ekosistem perindustrian dan keusahawanan secara menyeluruh, selain diperkukuh melalui penyelarasan portfolio pengangkutan termasuk pelabuhan dan logistik.
“Pandangan awal sudah dikemukakan kepada Sekretariat Sabah Maju Jaya sebagai input bagi memperkemas pelaksanaan pelan berkenaan.
“Saya mengemukakan pandangan awal kepada Sekretariat Sabah Maju Jaya dan cadangan itu dimasukkan dalam Pelan Hala Tuju SMJ 2.0,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Kejohanan Taekwando Kota Belud di Dewan Kompleks Sukan Botung, di sini.
Ewon menegaskan seluruh warga kementerian meningkatkan komitmen dan kerjasama dalaman bagi memastikan setiap inisiatif mencapai sasaran ditetapkan kerajaan negeri.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan cadangan penyelesaian interim berkaitan isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar akan dibentangkan pada Mesyuarat Kabinet Sabah minggu hadapan.
Katanya, projek pembesaran pelabuhan memberi penyelesaian jangka panjang, namun tempoh pembinaan yang panjang memerlukan langkah segera bagi mengurangkan tekanan operasi semasa.
“Cadangan penyelesaian ini sudah diedarkan kepada anggota Jemaah Menteri.
“Jika dipersetujui, saya yakin ia dapat meredakan kesesakan dan memberi kelegaan kepada pemain industri,” katanya.
Tambahnya, kelancaran operasi pelabuhan penting bagi meningkatkan keyakinan pelabur serta penggiat industri, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi negeri.
“Selepas isu di Sepanggar ditangani, kementerian memberi fokus kepada pembangunan serta peningkatan kecekapan Pelabuhan Sandakan dan Pelabuhan Tawau bagi memastikan rangkaian logistik lebih seimbang di seluruh Sabah.
“Saya yakin pendekatan bersepadu itu membantu memperkukuh daya saing sektor perindustrian dan keusahawanan, selain menyumbang kepada kejayaan SMJ 2.0 secara menyeluruh,” katanya.
Menyentuh kejohanan taekwando, beliau berkata kerajaan terus menyokong penganjuran aktiviti sukan di peringkat daerah sebagai platform pembangunan bakat belia.
“Semoga para peserta memenangi pingat pengalaman, pingat persahabatan dan pingat disiplin selain pingat kejohanan,” katanya.
Kejohanan itu menghimpunkan 180 peserta dari Kota Belud, Kota Marudu, Pitas, Kota Kinabalu, Keningau, Beaufort dan Putatan.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



