INTEGRITI: Hajiji (duduk tengah) bersama menteri Kabinet Negeri dan PPM yang mengangkat sumpah fasa kedua pada majlis itu di Menara Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) diingatkan supaya menjalankan tugas dengan penuh integriti kerana mereka mewakili kerajaan negeri di kawasan masing-masing.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, PPM yang berkhidmat di kawasan pembangkang khususnya, memikul tanggungjawab yang besar untuk meraih kepercayaan rakyat terhadap kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Selain mematuhi arahan kerajaan, peranan PPM di kawasan pembangkang adalah mencabar.
“Kamu adalah mata dan telinga kerajaan. Laksanakanlah tugas dengan baik,” katanya selepas merasmikan Majlis Angkat Sumpah Fasa Kedua 35 PPM di Menara Kinabalu, disini hari ini.
Terdahulu pada 13 Januari lepas, seramai 45 PPM mengangkat sumpah jawatan bagi fasa pertama dan fasa kedua ini, kebanyakan PPM yang mengangkat sumpah akan berkhidmat di kawasan pembangkang.
Dalam pada itu, Hajiji turut mengingatkan para PPM yang dilantik supaya terus menjaga imej kerajaan.
“Jangan lakukan perkara demi kepentingan peribadi. Jika saya mendapati ada yang mengejar kepentingan sendiri dan mengabaikan rakyat, saya tidak akan teragak-agak untuk memecat mereka.
“Jangan salah gunakan kuasa tetapi berikan keutamaan kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan,” katanya.
Beliau menegaskan semula bahawa PPM mesti menjelaskan kepada peringkat akar umbi mengenai dasar, inisiatif dan pencapaian kerajaan negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Turut hadir ialah menteri-menteri Kabinet Negeri dan Pengarah Unit PPM, Datuk Awang Kadin Tang.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



