SERAH: Jauteh (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas antara Jaafar (kiri) dengan Tan.
SEMPORNA: Peranan kepimpinan di peringkat daerah sangat penting kerana ia menjadi barisan hadapan dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Jauteh berkata, kepimpinan KPD bukan sahaja melibatkan aspek pentadbiran dan pengurusan pasukan, malah turut mencerminkan imej serta kredibiliti PDRM di mata masyarakat setempat.
“Kepimpinan di peringkat daerah adalah barisan hadapan yang menentukan keyakinan rakyat terhadap pasukan.
“Justeru, kesinambungan kecemerlangan perlu diteruskan tanpa membandingkan gaya kepimpinan terdahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah (KPD) Semporna yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, hari ini.
Pada majlis itu, Superintenden Tan Hiap Wah secara rasmi mengambil alih tugas sebagai Ketua Polis Daerah Semporna baharu selepas menyempurnakan acara serah terima tugas daripada Deputi Superintenden Jaafar Hakim, yang disaksikan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah.
Majlis turut dimulakan dengan pemakaian pangkat Superintenden Polis kepada Supt Tan Hiap Wah.
Jauteh dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada Jaafar atas pencapaian dan kecemerlangan sepanjang memangku jawatan KPD Semporna, khususnya dalam aspek pentadbiran, perancangan strategik, pemantauan operasi serta penyelarasan antara bahagian.
Beliau berkata, kepimpinan berkesan di peringkat daerah juga menuntut keupayaan mengendalikan kes-kes berprofil tinggi serta isu keselamatan yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan masyarakat.
Selain itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada PERKEP Daerah Semporna atas peranan penting dalam menjaga kebajikan keluarga warga PDRM dan memperkukuh sokongan sosial dalam pasukan.
Sehubungan itu, Jauteh menyeru seluruh warga IPD Semporna agar terus komited, ikhlas dan progresif dalam melaksanakan amanah bagi memastikan kelancaran tugas PDRM, khususnya dalam aspek keselamatan maritim, pelancongan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Majlis serah terima tugas itu diadakan susulan Arahan Pertukaran Pegawai Kanan Polis (Pegawai Diwartakan) Bilangan 38/2025 bertarikh 5 Disember 2025, selepas penyandang asal bersara wajib pada 29 Jun lalu.
Turut hadir Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sabah, Senior Asisten Komisioner, Datuk Mohd Azhar Hamin; Ketua Polis Daerah Kunak, Supt Rejali anak Angong; Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Supt Champin Piuh; Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supt Jimmy Panyau serta pegawai kanan dan pegawai rendah polis IPD Semporna.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



