LEBIH 2,000 TAPAK SULAIMAN BERDURI DISINGKIRKAN DI PERAIRAN SEMPORNA

OPERASI: Antara tapak sulaiman berduri yang berjaya disingkirkan di perairan Semporna.

SEMPORNA: Ancaman tapak sulaiman berduri atau crown-of-thorns starfish (COT) terhadap terumbu karang pantai timur Sabah terus ditangani apabila sebanyak 2,188 hidupan itu berjaya disingkirkan dalam operasi bersama selama tiga hari di perairan Adal – Bakungan dan Silam Coast, Disember ini.

Operasi bersepadu berkenaan diketuai Reef Check Malaysia (RCM) dengan kerjasama The Buwan Dive Resort, Yayasan Sabah serta Kumpulan Pemuliharaan Marin Komuniti (CMCG) dari Semporna.

Ia susulan peningkatan ketara wabak COT yang dikesan sepanjang 2025 di perairan Lahad Datu, Kunak dan Semporna.

Menurut RCM, misi berkenaan antara operasi tindak balas pantas terbesar dilaksanakan tahun ini bagi mengurangkan tekanan ke atas ekosistem terumbu karang yang semakin terancam.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan Terumbu Tahunan RCM, populasi tapak sulaiman berduri di pantai timur Sabah meningkat mendadak sejak 2022, melepasi paras selamat ekologi iaitu sekitar 0.2 hingga 0.3 individu bagi setiap 100 meter persegi.

“Jumlah yang terlalu tinggi boleh menyebabkan kemusnahan besar terhadap tisu karang hidup, sekali gus memburukkan kesan pelunturan karang, pemendapan dan aktiviti perikanan yang tidak lestari,” katanya.

Sepanjang tahun ini sahaja, sebanyak 7,624 COT sudah dikeluarkan menerusi operasi lapangan di beberapa lokasi panas wabak di pantai timur Sabah, dengan operasi terbaharu di Semporna menyumbang kepada usaha mitigasi berterusan.

Operasi terbabit turut berdepan cabaran apabila penyelam terpaksa beroperasi dalam keadaan jarak penglihatan rendah, arus kuat serta kawasan berhampiran paya bakau yang berisiko, namun pelaksanaan prosedur keselamatan yang ketat memastikan misi berjalan lancar.

Penyelam CMCG Selakan, Ahmad Idham, berkata walaupun operasi dijalankan berhampiran kawasan berisiko, ia berlangsung dengan selamat dan memberi pengalaman berharga kepadanya sebagai sukarelawan pemuliharaan marin.

MISI: Pasukan penyelam yang menyertai misi menyingkirkan tapak sulaiman berduri di Semporna.

Sementara itu, Ketua Pemuliharaan Marin The Buwan Dive Resort, Maryen Adelline Kelley atau Nisa, berkata kerjasama antara agensi, sektor swasta dan komuniti setempat membuktikan usaha kolektif mampu memberi impak besar kepada perlindungan alam sekitar.

“Usaha kecil yang dilakukan secara berterusan mampu membawa perubahan besar, selari dengan peribahasa ‘sikit-sikit lama-lama jadi bukit’,” katanya.

Wakil Kawasan Pemuliharaan Silam Coast, Nelky Imbaran, pula merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dan menegaskan setiap tindakan bersama membantu memastikan persekitaran marin lebih selamat dan seimbang untuk hidupan laut serta komuniti setempat.

Pengurus Program RCM bagi Sabah Selatan, Adzmin Fatta, berkata operasi penyingkiran COT membantu mengurangkan tekanan segera ke atas terumbu karang, namun kajian saintifik lebih mendalam diperlukan bagi memahami punca peningkatan wabak itu.

Katanya, dengan sokongan berterusan rakan strategik termasuk KePKAS, usaha pemantauan, tindak balas pantas dan pemuliharaan berasaskan komuniti akan terus diperkasa bagi memastikan kelestarian terumbu karang pantai timur Sabah.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

WANITA CEKAL JADI MALIM GUNUNG

KUALA TERENGGANU: Hujan, laluan licin, pacat, keletihan malah berdepan kepala air dan gajah bukan alasan bagi dua malim gunung wanita …

KENALI MALAYSIA KITA!

Malaysia bukan sekadar tanah tempat kita berpijak, tetapi penuh dengan sejarah, simbol dan identiti yang membentuk negara kita hari ini …

PROSES MEMBAWA KELUAR FAIL DARI PEJABAT SEMASA TEMPOH HARI BEKERJA HIBRID (HBH)

Pengurusan dan kawalan pergerakan fail merupakan elemen penting dalam memastikan keselamatan, kerahsiaan dan integriti rekod kerajaan sentiasa terpelihara, khususnya semasa …