Geng pecah rumah mewah di daerah ini yang melibatkan warga China akhirnya tumpas selepas tiga individu ditahan baru-baru ini. Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, kegiatan kumpulan itu yang aktif sejak Ogos lalu turut melakukan jenayah sama di sekitar Lembah Klang.
Menurutnya, suspek pertama lelaki warga China berusia 37 tahun telah ditahan pada jam 1.15 pagi, 8 November lalu ketika berada di dalam sebuah Perodua Bezza di kawasan City Park Seremban 2 di sini dalam keadaan mencurigakan. Tangkapan dibuat selepas pihak polis menerima laporan kes pecah rumah di Taman Sri Carcosa, Seremban 2 di sini pada 13 Ogos lalu melibatkan kerugian barangan kemas dan beberapa jam tangan berjenama dianggarkan RM35,000.
Hasil pemeriksaan kereta yang dinaiki suspek, polis menjumpai beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan pecah rumah termasuk pemotong besi, pemutar skru, dua kuku kambing, pakaian, beg komputer riba, dan dua telefon bimbit. Susulan itu, polis telah menahan seorang lagi suspek wanita warga China pada jam 4 petang, Isnin lalu di sebuah kediaman di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.
Wanita berusia 64 tahun itu ditahan dengan seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun. Hasil serbuan dan pemeriksaan di kediaman itu membawa kepada rampasan 27 utas jam tangan pelbagai jenama dan sembilan barang kemas. Turut ditemui, tiga kad kad bank, lima beg berjenama, sebuah komputer riba, wang tunai RM18,000 dan mata wang asing.
Atas kejayaan tangkapan kumpulan itu Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah(JSJ) Seremban berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah rumah di daerah Seremban dan tujuh kes di Selangor. Suspek kini direman sehingga 15 November ini bagi membantu siasatan.
Sumber: Sinar Harian



