KAPAL TANGKI DISYAKI SIMPAN 50 TAN METRIK DIESEL DITAHAN DI PERAIRAN KUALA MELAKA

Kuala Linggi – Sebuah kapal tangki yang disyaki menyimpan kira-kira 50 tan metrik minyak diesel bernilai hampir RM180,000 tanpa dokumen sah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di perairan Kuala Melaka, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, kapal yang dikendali lima kru warga Indonesia berusia antara 20 hingga 46 tahun itu ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika melaksanakan Operasi Murni dan Operasi Tiris 3.0 di perairan Selat Melaka.

“Bot ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah kapal tangki yang sedang bersauh kira-kira 0.5 batu nautika barat daya Kuala Melaka.

“Pemeriksaan mendapati kapal itu menyimpan kira-kira 50 tan metrik bahan disyaki minyak diesel di dalam tangkinya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Salehuddin, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kapal berkenaan gagal mengemukakan sebarang invois pembelian atau dokumen pengesahan pemilikan bahan bakar tersebut.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati kapal tangki itu berasal dari Batam, Indonesia, dan dipercayai telah mengambil minyak diesel di perairan Melaka untuk dibawa keluar tanpa sebarang kebenaran atau dokumen sah.

“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984 kerana gagal mengemukakan dokumen pembelian bahan bakar yang sah, serta Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah akan melakukan kesalahan dan menafikan pemilikan bahan kawalan tersebut,” katanya.

Tegas beliau, Maritim Malaysia akan terus mempergiat pemantauan dan operasi di perairan negara bagi mengekang aktiviti penyelewengan serta penyeludupan bahan api yang boleh menjejaskan ekonomi dan keselamatan negara.

Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)

Artikel/Berita Terkini

11 TAHANAN WARGA THAILAND DIHANTAR PULANG MELALUI ICQS RANTAU PANJANG

Seramai 11 tahanan warganegara Thailand dihantar pulang ke negara asal melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, …

PENAGIH DAN PENYALAH GUNA DADAH TERENGGANU TURUN 7.2 PERATUS

Jumlah penagih dan penyalah guna dadah di Terengganu menurun 7.2 peratus kepada 7,582 orang pada suku pertama 2026 berbanding 8,174 …

TINDAKAN DAN LANGKAH UNTUK MENANGANI MASALAH PENYALAHGUNAAN DADAH DALAM KALANGAN GOLONGAN PROFESIONAL

Penyalahgunaan dadah bukan lagi isu terhad kepada golongan penganggur atau belia sahaja. Kini ia turut membabitkan golongan profesional seperti pekerja …