SELESAI TUNTUTAN MA63 MENERUSI PERBINCANGAN, BUKAN ‘BERPERANG’: ANWAR

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menegaskan bahawa penyelesaian tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilaksanakan melalui perbincangan dan rundingan yang rasional, bukannya melalui konfrontasi, ‘berperang’ atau perselisihan.

Beliau berkata Kerajaan MADANI komited menyelesaikan tuntutan itu secara menyeluruh, antaranya melalui perbincangan dan rundingan dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Sekarang pun kita sedang berbincang. Datuk Seri Fadillah mengetuai jawatankuasa teknikal, kita adakan mesyuarat untuk bincang bersama. Jika setuju, kita laksanakan; jika tidak, bincang semula dan undi lagi. Inilah cara kita bekerjasama, bukan untuk ‘berperang’,” katanya ketika berucap pada Program Rancakkan MADANI di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, serta lebih 2,000 peserta program termasuk pelajar universiti dan komuniti setempat.

Menyentuh mengenai tuntutan pemulangan hasil 40 peratus untuk Sabah, Perdana Menteri menyeru semua pihak supaya mendalami dan memahami perkara tersebut terlebih dahulu.

“Saya tadi (melawat) Jalan Gaya, dengar jeritan tentang hasil 40 peratus Sabah. Dengarlah dulu, fahami dulu. Memang terkandung dalam MA63, tetapi tiga tahun lalu (sejak Kerajaan MADANI mentadbir), kita sudah membincangkannya,” kata Perdana Menteri.

Pada 23 Oktober lepas, Fadillah menyatakan bahawa 13 daripada 29 tuntutan MA63 telah dikategorikan sebagai selesai.

Menjelas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Kerajaan Persekutuan membelanjakan RM17 bilion setahun bagi Sabah, termasuk peruntukan bagi pendidikan, kesihatan dan keselamatan serta pembangunan infrastruktur seperti sekolah dan klinik kesihatan.

Beliau berkata jumlah peruntukan itu jauh melebihi hasil negeri berjumlah sekitar RM10 billion setahun.

“Kita ambil hasil RM10 bilion, kita beri kembali RM17 bilion. Sebab apa? Kerana ini hasil kerjasama antara Persekutuan dan negeri. Kita gunakan hasil untuk membangunkan semua negeri di Malaysia. Sabah sedikit ketinggalan, jadi kita bantu lebih.

“Kelantan, Perlis, walaupun ditadbir pembangkang, kita tetap bantu. Selesaikan masalah banjir setiap tahun pun kita belanjakan berbilion ringgit. Sebab tugas kita menjaga Malaysia — anak Sabah, Kelantan, Perlis, semuanya anak Malaysia. Kita mahu semua hidup dengan baik dan bahagia,” katanya.

Anwar berkata bahawa dalam usaha membangunkan negara, Malaysia memerlukan kepimpinan yang berwibawa dan mampu menyatukan rakyat pelbagai etnik bagi terus memperkukuh perpaduan nasional.

Menurut beliau, kehebatan sebenar seorang pemimpin tidak bergantung kepada kekuatan untuk bertempur, sebaliknya terletak pada kesanggupan bekerjasama dan mengikat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang datang daripada pelbagai latar belakang.

“Kalau hebat seorang pemimpin Murut, Kadazan atau Dayak, ataupun Bugis atau Suluk, kehebatannya terserlah melalui kesanggupannya untuk bekerjasama dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan kita,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus bekerja keras bagi kepentingan rakyat, walaupun beliau bukan lagi muda seperti dahulu.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …