ALBUM: Hajiji (duduk di tengah) bersama para peserta Konvensyen Mahasiswa Sabah di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, semalam.
PENAMPANG: Kerajaan negeri bercadang menawarkan pendidikan percuma kepada pelajar negeri ini yang melanjutkan pengajian di institusi milik kerajaan negeri, iaitu University College Yayasan Sabah (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata selain itu kerajaan turut merancang memperkenalkan dasar subsidi pinjaman pendidikan, khususnya pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Sabah, bagi meringankan beban hutang pelajar.
“Inisiatif ini akan memanfaatkan lebih 100,000 peminjam. Saya optimis dasar ini praktikal dilaksanakan kerajaan negeri sesuai dengan kedudukan kewangan pada masa akan datang.
“Inilah bukti kesungguhan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membantu lebih ramai anak Sabah selain memastikan akses pendidikan lebih luas,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Mahasiswa Sabah di Dewan KDCA, di sini, hari ini.
Hajiji berkata kerajaan negeri memberi penekanan serius terhadap pendidikan dan pembangunan modal insan sejak beliau mengambil alih tampuk kepimpinan, selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Katanya, sejak 2021 kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM1.3 bilion untuk pendidikan iaitu jumlah terbesar dalam sejarah Sabah.
“Lebih 14 inisiatif pendidikan diperkenalkan, antaranya Bantuan one-off RM600 kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pelajaran ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan melalui GRS-SubFly, serta bantuan RM300 menerusi inisiatif SENTOSA bagi pelajar yang belajar dalam negeri.
“Kerajaan juga menyediakan dana biasiswa tertinggi sejak merdeka iaitu RM136 juta pada 2025 yang memberi manfaat kepada ribuan pelajar, selain menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) untuk membantu mereka yang berdepan cabaran kewangan,” katanya.
Menurutnya, semua itu dapat dilaksanakan hasil kejayaan kerajaan meningkatkan pendapatan negeri ke hampir RM7 bilion iaitu tahap tertinggi dalam sejarah Sabah.
Hajiji turut menegaskan kerajaan negeri tidak hanya memberi penekanan terhadap pendidikan, tetapi juga kebajikan rakyat melalui pelbagai program di bawah inisiatif SMJ.
Antara program itu termasuk pemberian Rumah Mesra SMJ secara percuma kepada golongan miskin tegar dan miskin, serta inisiatif Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) iaitu bantuan bulanan RM300 selama 12 bulan kepada 100,000 penerima bermula tahun ini.
USUL: Hajiji menerima usul-usul yang telah diluluskan dalam konvensyen berkenaan.
Mengulas PRN Sabah ke-17 (PRN17), Hajiji berkata masa depan Sabah terletak di tangan rakyat, khususnya 970,000 pengundi muda, untuk menentukan kesinambungan pembangunan negeri.
“Masa depan Sabah terletak di tangan anda. Jangan sia-siakan peluang ini. Sabah tidak boleh ketinggalan lagi. Kita ada potensi besar untuk menjadi negeri maju dan berjaya. Inilah masanya,” katanya.
Menurutnya, kerajaan GRS sudah membuktikan keupayaan dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, ekonomi, kebajikan, pelaburan dan pengurusan hasil negeri.
“Buatlah pilihan terbaik yang menjamin pembangunan berterusan, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.
“Jangan ulangi kesilapan lalu hingga menyebabkan pembangunan terbengkalai kerana dasar lemah dan tidak terancang,” katanya.
Hajiji berkata Sabah kini berada di landasan ekonomi kukuh apabila merekodkan kemasukan pelaburan ketiga tertinggi di Malaysia pada suku pertama 2025, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda.
“Statistik juga menunjukkan kadar pengangguran berjaya diturunkan daripada 8.2 peratus pada 2020 kepada 6.2 peratus pada suku kedua 2025.
“Ini bukan sekadar angka, tetapi realiti bahawa anak muda Sabah kini memiliki akses lebih baik kepada pekerjaan yang stabil,” katanya.
Beliau turut meminta agar usul yang diluluskan dalam Konvensyen Mahasiswa yang dihadiri 1,000 peserta itu dikemukakan segera kepada kerajaan negeri untuk perhatian lanjut.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



