Pada 17 Julai 2014, dunia dikejutkan dengan tragedi menyayat hati MH17. Tidak ramai yang mengetahui bahawa di sebalik usaha bawa pulang bahan bukti dari lokasi nahas, ada satu kumpulan wira senyap yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi negara. Mereka inilah yang digelar ‘The Dozen Person’, satu pasukan khas perunding yang dihantar terus ke lokasi kejadian di Ukraine.
MH17, pesawat Malaysia Airlines yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, telah ditembak jatuh ketika melalui ruang udara Ukraine yang sedang bergolak. Kesemua 283 penumpang dan 15 krew terkorban dalam kejadian tersebut.
Beberapa hari selepas insiden tersebut berlaku, satu pasukan khas perunding yang dikenali sebagai ‘The Dozen Person’ dihantar ke Ukraine untuk berunding dengan pasukan penentang yang menguasai lokasi kejadian.
Pasukan ini diketuai oleh Kolonel Mohd Sakri Hussin yang bertugas di Majlis Keselamatan Negara pada ketika itu. Beliau berkata pengalaman itu merupakan pengalaman paling tidak dapat dilupakan sepanjang beliau berkhidmat. Mereka bukan sahaja mengalami kesukaran dari urusan logistik untuk ke tempat kejadian dan berunding dengan pemisah. Mereka turut memasuki zon perang dengan ‘tangan kosong’, tanpa sebarang senjata api bagi melindungi keselamatan diri.
Menurut beliau, operasi tersebut merupakan yang paling mencabar kerana wujud banyak pihak berkepentingan yang berkehendakkan bahan bukti berkenaan. Tambah beliau lagi, dugaan yang perlu dihadap bukan calang-calang lebih-lebih ketika berada di zon perang.
Beliau yang turut mempunyai pengalaman ketika era insurgensi turut menegaskan pengalaman mengetuai The Dozen Person lebih bermakna buat beliau berbanding era Insurgensi begitu juga penyertaan beliau dalam misi pengaman yang pernah disertai bersama Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), misi kemanusiaan atau bencana lain.
Misi mereka bukan calang-calang. Mereka terpaksa melalui 10 checkpoint yang dijaga rapi sepanjang perjalanan ke Donestsk (Timur Ukraine). Setiap checkpoint dijaga oleh anggota yang lengkap bersenjata yang mempunyai karenah tersendiri. Selain itu, pergerakan mereka turut diekori menyebabkan mereka sentiasa berwaspada terhadap sesiapa jua ketika menjalankan misi tersebut kerana boleh jadi “musang berbulu ayam” akan menyebabkan operasi ini menjadi lebih sulit.
Doa, usaha dan tawakal menjadi teman sepanjang proses yang getir itu. Selaku ketua misi, beliau sentiasa mengingatkan 11 anggotanya supaya terus berpuasa dan tidak berhenti berdoa supaya dilindungi Allah S.W.T. Proses yang memerlukan dedikasi dan azam yang jitu ini mengagumkan seluruh dunia lebih-lebih lagi dengan kecekalan dan keberanian The Dozen Person di sepanjang perjalanan ke wilayah bergolak yang dikuasai Kumpulan Pemisah Donetsk (DSG).
Dalam perjalan keluar dari Ground Zero, beliau dan pasukan berhadapan dengan detik lebih mencabar kerana turut berdepan dengan pelbagai insiden menggerunkan termasuk cubaan melarikan kotak hitam MH17 yang dijadikan bahan bukti itu.
The Dozen Person yang mewakili Malaysia pada ketika itu membuat empat tuntutan ke atas pemimpin pemisah, tiga daripada empat tuntutan tersebut berjaya diperoleh daripada pemimpin pemisah manakala tuntutan supaya barangan peribadi mangsa diserahkan kepada Malaysia tidak dapat dipenuhi kerana keadaan barangan tersebut yang masih belum terurus.
Berkat kesabaran, dedikasi dan doa dari seluruh anggota yang terlibat, proses rundingan dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam iaitu tiga hari selepas pesawat itu ditembak jatuh. Malah, rundingan diselesaikan tanpa sebarang syarat ditetapkan oleh pemimpin pemisah, Alexander Borodai yang mengisytiharkan dirinya sebagai Perdana Menteri Republik Rakyat Donetsk (DPR). Kejayaan ini turut mengagumkan masyarakat antarabangsa. Pada 22 Julai 2014, satu sidang media dibuat oleh Alexander Borodai sendiri dengan menyerahkan dua kotak hitam MH17 milik Malaysia kepada pasukan The Dozen Person.
Antara pasukan sokongan yang menyertai misi tersebut ialah pakar komunikasi, doktor perubatan, pakar patologi dan pengecaman mangsa bencana (DVI), jurubahasa tentera, pegawai Pasukan Khas Penyelamat dan Bencana Malaysia (SMART) serta anggota komando sebagai langkah keselamatan. Berikut merupakan senarai penuh pasukan The Dozen Person:
- Kolonel Mohd Sakri Hussin (Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) – Ketua Perunding)
- Brigedier Jeneral Datuk Dr Mohd Ilham Haron (Angkatan Tentera Malaysia – Perubatan)
- Dr Mohd Shah Mahmood (Hospital Kuala Lumpur – Patologi dan DVI)
- Mejar Nazri Musman (Angkatan Tentera Malaysia)
- Mejar Dr Mohd Hafizi Abdullah (Angkatan Tentera Malaysia – Perubatan)
- Mejar Muhammad Mustafa Omar (Pasukan Khas TUDM (PASKAU))
- Kapten Dr Mohd Zainizam Zainal (Angkatan Tentera Malaysia -Jurubahasa)
- Inspektor Abd Rahim Abd Aziz (Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia(SMART))
- Sarjan Shahrizal Abu Bakar (Pasukan Khas TUDM (PASKAU))
- Koperal Rosli Mustafa (Pasukan Khas TUDM (PASKAU))
- Laskar Udara Kanan Mohd Afendy Ahmad Zaini (Pasukan Khas TUDM (PASKAU))
- Rosli Shaari (SAPURA Technologies – Pakar Komunikasi)
Misi mereka bukan kecil. Tanpa senjata, tapi berbekalkan ilmu, keberanian dan doa, mereka telah berjaya membuat sesuatu yang tak semua orang mampu. The Dozen Person bukan sekadar wira, tapi simbol keteguhan semangat Malaysia dalam menghadapi tragedi dunia.
Disediakan oleh:
Wan Akmal Irsyad Wan Ghazali



